Oleh Zulzafry Zulkifly
Sejak itu, kehilangan saya hanya berdengung dalam sarang lebah. Tiada pencarian digesa, hanya bisik-bisik yang bertanya. Tidak lama dengungan itu hilang. Tidak ditanyakan lagi kehilangan saya.
Kudeta tak pernah berlangsung. Faiq terus bercerita kisah-kisah lain yang dia lihat. Sehingga suatu masa, tiadalah lebah lain yang mendengar cerita Faiq yang banyaknya itu datang dari madu peram sahaja.
Malam terakhir di sarang, mata tidak boleh saya lelapkan. Dalam kepala, dengung Faiq yang tidak henti-henti mengulang cerita demi cerita menghasut benak saya untuk berpaling tadah kepada pemerintah kami.
Puas saya berkalih tempat tidur, sebentar mengiring ke kiri, sebentar ke kanan dan kemudian terlentang. Kantuk tidak kunjung tiba. Dengung cerita semakin nyaring memekik.
Sehingga dengung itu dipecahkan bunyi janggal. Bunyi yang tidak pernah saya dengar sebelum ini.
Kata lebah tua-tua, bunyi janggal yang kami dengar adalah suara algojo. Petanda ajal sudah berdiri di ambang pintu. Tinggal mengetuk dan menarik kami ke lembah kematian.
Saya jadi tidak senang duduk. Dengan getaran sayap selembut boleh, saya keluar dari kamar. Menjenguk satu per satu kamar lain mencari dari manakah datangnya suara janggal itu.
Sehingga habis semua pintu saya tolak, masih juga bunyi janggal itu tidak saya jumpai. Tinggal satu pintu tidak saya jenguk; kamar beradu permaisuri.
Melihatkan ambang pintu ke kamar permaisuri yang tidak berpengawal, dengan getaran perlahan dan bunyi minimal, saya terbang ke sana. Jantung saya dup dap dup dap oleh debaran dan ketakutan. Daun pintu perlahan-lahan saya kuak.
Terpampanglah keindahan seorang ratu yang kali pertama jelas saya lihat. Jika selama ini saya hanya melihat siluetnya sahaja dalam kerumunan lebah, malam ini keindahan permaisuri hanya ditatap oleh saya. Lupalah saya akan segala cerita-cerita yang Faiq tebarkan.
Di hadapan pintu, saya tercengang seketika oleh keindahannya. Hanya selepas jeda baru saya sedar kamar itu tidak terisi oleh permaisuri seorang melainkan ada susuk lain: tangan seorang lelaki. Kekar dan berparut sengatan.
Dalam rangkulan tangan itu, permaisuri yang lemah lesu.
Berbekalkan naluri lebah pekerja yang ada pada diri, sayap saya bergetar. Laju saya dengan sengat terhunus menyasarkan tangan itu.
Saat itu, tahulah saya, bunyi yang saya dengar sebentar tadi memang suara algojo.
Saya reda. Sekurang-kurangnya bisa sengat dan nyawa saya mengalir demi permaisuri. Akan saya genggam setia ini mengetuk pintu syurga agar Tuhan tahu saya hamba yang taat kepada tuannya.
Sengat yang sudah terbenam akhirnya tertanggal dari kulit membawa organ saya bersama. Pada saat pandangan saya berbalam itulah algojo datang berjubah putih.
Tengah hari tadi ketika kami semua sedang berehat meneguk madu, saya berkalih dari meja tempat kami berbual. Pada ragi sekuntum bunga saya mendarat. Tapi cerita-cerita Faiq masih lagi terngiang dalam benak.
Beberapa minggu sebelum ini, kami dapat berita. Di sarang jauh terletak di timur negara kami, kudeta sedang marak membakar sarang lebah. Perihal yang sama: permaisuri ditangkap tidak telus dalam menjalankan tugas akhirnya digulingkan.
Kaum kami, yang selama ini dikenali sebagai tamadun yang patuh kepada budaya monarki matriarki perlahan-lahan runtuh. Dan jika benar apa yang dikatakan lebah lain, ini semua berangkara dari khianat dan perbuatan kotor permaisuri juga. Masakan kaum kami yang berkurun lama terkenal dengan kepatuhan dan kesetiaan ini akan memberontak keras jika tidak terjadi apa-apa?
Saya terus menidakkan hal-hal yang kelak mungkin terjadi kepada kami pula.
Biarlah apa yang terjadi sekalipun, sejak lahir sudah saya bersumpah dengan sengat dan nyawa saya. Kalau nanti suatu masa, perlu saya gunakan sengat ini untuk melindungi permaisuri, biarlah jika kemudiannya saya mati pun, akan saya korbankan nyawa buatnya.
Memang saya tidak percaya satu pun yang keluar daripada sesungut Faiq. Mustahil permaisuri yang selama ini kami tumpahkan setia sanggup untuk berbuat begitu. Apa yang dikatakan Faiq saya bantah keras-keras walaupun ramai yang mengangguk bersetuju.
Di pagar sebuah taman bunga agak jauh daripada sarang, kami lebah pekerja sedang melepas lelah. Di hadapan kami, gelas-gelas madu separa penuh.
Waktu itulah, keluar segala fitnah daripada sesungut Faiq. Ceritanya, malam sebelumnya dia pulang lewat. Melayah terbang dek mabuk madu peram.
Di belakang perdu pohon tualang yang selama ini menjadi tunjang sarang kami, dia lihat permaisuri turun daripada singgahsananya, mencemar duli di luar. Yang memeranjatkannya adalah kelibat seorang manusia yang sedang berbincang dengan permaisuri.
Pada bahu lelaki itu, Sang Permaisuri bertenggek. Didengungkan suaranya ke telinga lelaki. Kerana terlalu jauh, tidak difahami butir dengungan permaisuri itu. Lalu selepas sudah permaisuri berdengung, lelaki itu pula berkata entah apa.
Dia yakin permaisuri sedang melakukan komplot menjual madu yang selama ini dikerjakan oleh lebah-lebah semuanya.
“Aku tak percaya. Kau memang mahu memecah-belahkan kaum kita,” kata saya dengan keras. Gelas madu saya capai dan teguk habis. Pandangan saya buang ke hamparan bunga tempat kami bekerja.
Yang lain masih mengangguk-angguk dan menggesa Faiq melanjutkan cerita. Mereka tahu ketika mabuk madu peram, Faiq memang selalu hilang pedoman. Mungkin saja yang dilihat itu bahu pohon tualang dan yang didengarnya hanya desir angin pada dedaunan.
Namun entah dek kemarahan yang selama ini disimpan atau lelah bekerja yang ditanggung sepanjang hari, mereka mengiakan kata Faiq.
Ada juga menambah yang mereka pernah terserempak kelibat seorang lelaki dalam perjalanan pulang ke sarang. Ada yang perasan kandungan madu di sarang kami tidak pernah bertambah walau sekeras mana kami kerahkan kudrat. Lagi pun, sara hidup kini kian hari kian meningkat. Sewa sarang bertambah dari hari ke hari. Dan harga belian madu tiada tentu jatuh naiknya.
Saya berang betul dengan tuduhan Faiq itu. Mustahil permaisuri berlaku khianat kepada kami. Sehinggalah malam menjelma dan segala tirai rahsia dibuka.