SHAH ALAM, 5 APRIL: Setiausaha politik Dato' Menteri Besar menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari sebagai tidak sensitif dan dangkal apabila mencadangkan Dato' Seri Amirudin Shari bercuti di saat rakyat masih bergelut dengan kesan tragedi letupan paip gas di Putra Heights.
Menurut Saifuddin Shafi Muhammad kenyataan itu langsung tidak berempati dan hadir ketika negeri memerlukan kepimpinan tegas serta tindakan segera, bukan retorik politik.
"Biasanya yang mengambil cuti semasa krisis ini adalah menteri besar daripada PAS jika mengambil contoh sebuah negeri di pantai Timur. Ini masa krisis, tapi pemimpin PAS masih sempat mencadangkan perkara tidak bijak laksana buntal kembung, perut buncit didalamnya kosong.
"Kenyataan balas ini mencerminkan realiti apabila ada pihak lebih ghairah mencari ruang politik daripada turun membantu rakyat," katanya.
Jelas beliau, sejak hari pertama insiden berlaku, Amirudin telah turun padang, memantau operasi menyelamat, menyantuni keluarga mangsa dan menyelaras tindakan semua agensi.
"Amirudin tidak memilih untuk ‘berehat’ ketika krisis. Tindakan beliau berlandaskan amanah, bukan skrip politik," katanya.
Menurut Saifuddin lagi, Kerajaan Negeri kekal komited memperjuangkan nasib mangsa tragedi tersebut dengan memastikan bantuan, perlindungan sebaik mungkin.
"Kami tidak akan melayan kenyataan kosong yang hanya mahu mengalihkan perhatian rakyat dari hakikat sebenar siapa yang benar-benar bekerja, dan siapa yang hanya pandai bercakap.
"Kalau tidak mampu membantu, usahlah jadi batu penghalang kerana rakyat sedang memerhati" katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Insiden itu melibatkan 1,254 mangsa daripada 308 keluarga, dengan 87 rumah rosak sepenuhnya dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah lain terjejas namun masih boleh dihuni.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.