SHAH ALAM, 5 APRIL: Koridor Utiliti Selangor (Kusel) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sedang melalui proses audit susulan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses siasatan tersebut dibuat sejak hari kedua tragedi berkenaan berlaku bagi melihat dan menilai projek yang didakwa terlibat.
“Mulai hari kedua pihak audit telah masuk di Kusel dan MBSJ, dan mereka telah melihat adakah proses kebenaran mengikut aturan ditetapkan.
“Insya-Allah kebenaran akan dibuktikan. Bagi masa untuk ia disiasat dan dilengkapkan untuk elak kekeliruan,” katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.
Amirudin menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak akan melindungi mana-mana pihak dan memohon masa bagi melengkapkan proses siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Kita tiada apa-apa nak dilindungi, kalau salah kita perbetulkan. Kalau perlu tindakan selanjutnya kita akan ambil. Ini janji kita. Biarlah ia disiasat di bahagian teknikal,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah kontraktor pembinaan bangunan komersial didakwa menceroboh sebahagian tanah milik kerajaan yang digazet sebagai kawasan penampan saluran gas Petronas.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan kerja tanah akan bermula di Taman Putra Harmoni esok, bagi mengalih aliran alir dan mengelakkan lokasi kejadian terus bertakung.
Jelasnya, usaha itu penting bagi menstabilkan tanah di kawasan berkenaan sekali gus membantu memudahkan proses siasatan, terutamanya ketika musim hujan.
“Kalau ada apa-apa aktiviti esok jangan terperanjat sebab ia diperlukan. Kalau tidak di kawah itu akan bertakung air kerana ia menjadi saliran air keluar ketika hujan,” katanya.