SHAH ALAM, 5 APRIL: Kerajaan Negeri tidak akan melindungi mana-mana pihak dalam proses siasatan tragedi kebakaran saluran gas di Putra Heights.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kenyataannya berhubung penemuan jengkaut telah disalah erti oleh sesetengah pihak sehingga memberi persepsi negatif di media sosial.
“Kenyataan itu telah disalah faham oleh sesetengah pihak. Sememangnya dari perbualan ringkas kita dengan ketua polis, kita telah jangkakan ada jengkaut yang terbenam.
“Itulah yang saya kemukakan kemudian kepada masyarakat, kalau ada maklumat sampaikan dan kita kena siasat dan cari di mana jengkaut itu.
“Tidak timbul isu saya cuba nafikan ada aktiviti atau lindungi sesiapa sebagaimana ada sesetengah pihak di laman sosial yang mempertikai kedudukan menteri besar dalam isu ini,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kali ke-3 yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.
Amirudin menambah, proses siasatan yang dikendali pihak berkuasa dan jawatankuasa bencana negeri tidak akan memihak kepada sesiapa selain bertindak berdasarkan data dan fakta.
“Arahan saya sangat jelas, kita mahu siasatan yang menyeluruh dan memastikan kebertanggungjawaban itu dikenakan kepada mereka yang sewajarnya,” katanya.
Semalam, Hussein mengesahkan satu jengkaut dikhuatiri terbenam dalam kawah letupan, selepas menjalankan kerja mengorek tanah bagi menggantikan paip kumbahan, kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada aktiviti korek tanah itu mempunyai kaitan langsung dengan insiden letupan paip gas tersebut.