SHAH ALAM, 5 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Selangor yang dijadualkan esok dibatalkan bagi menghormati mangsa dan keluarga yang sedang berdepan musibah susulan insiden di Putra Heights.
Sebaliknya, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, persiapan yang telah dibuat untuk majlis berkenaan khususnya makanan-makanan, disalurkan kepada pusat-pusat penempatan sementara (PPS), semua petugas, rumah anak Yatim dan sekolah-sekolah berdekatan lokasi kejadian.
"Titah DYMM Sultan Selangor telah dimaklumkan kepada perdana menteri yang juga telah bersetuju dengan titah pembatalan oleh Baginda. Baginda turut menyarankan agar semua mangsa dan petugas diraikan dengan jamuan hari raya di PPS.
"Semoga ianya dapat memberi sedikit keceriaan kepada mangsa dan para petugas yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan mereka," menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.
Dalam kenyataan itu, Baginda mendoakan agar urusan semua pihak terlibat dipermudahkan dan semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini.
Setakat pagi tadi, sebanyak 382 mangsa daripada 99 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, manakala 109 mangsa daripada 27 keluarga berlindung di PPS Dewan Camelia.
Dalam kejadian Selasa lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Insiden itu melibatkan 1,254 mangsa daripada 308 keluarga dengan 87 rumah rosak sepenuhnya dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas namun boleh didiami.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.