ad
AGENDA

MB: Sultan perkenan batal rumah terbuka esok, makanan disalur kepada PPS, rumah anak yatim

5 Apr 2025, 6:45 AM
MB: Sultan perkenan batal rumah terbuka esok, makanan disalur kepada PPS, rumah anak yatim

SHAH ALAM, 5 APRIL: Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 peringkat Selangor yang dijadual berlangsung esok dibatalkan, maklum Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, setelah mengambil kira keadaan mangsa yang terjejas dengan kebakaran paip gas di Putra Heights.

"Segala persiapan seperti makanan akan disalurkan kepada pusat pemindahan sementara, rumah anak-anak yatim, sekolah berasrama serta petugas keselamatan.

"Keputusan ini diambil kira bagi menghormati mangsa dan keluarga yang terlibat dengan insiden di Putra Heights," katanya menerusi kenyataan.

Amirudin mewakili seluruh warga Kerajaan Negeri turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul susulan pembatalan, demi menghormati mangsa dan keluarga yang terlibat dalam insiden tersebut.

"Sekalung penghargaan buat seluruh pasukan petugas dan pelaksana majlis yang bertungkus lumus memastikan majlis ini boleh berjalan sebagaimana matlamat, namun saya sangat menghargai persefahaman bersama demi maslahah yang lebih utama.

"Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita juga dalam bersolidariti membantu mangsa dan semua pihak jua," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.