ad
AGENDA

Anwar terima kunjungan pengerusi IISS-Asia, kagum suara Malaysia dalam isu kepentingan sejagat

5 Apr 2025, 6:33 AM
Anwar terima kunjungan pengerusi IISS-Asia, kagum suara Malaysia dalam isu kepentingan sejagat

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif International Institute of Strategic Studies Asia (IISS-Asia) Sir John Miguel Warwick Chipman, di pejabat beliau di Putrajaya, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar memaklumkan pertemuan itu membincangkan mengenai hal ehwal geo-strategik serantau terkait keselamatan secara menyeluruh, merangkumi aspek pertahanan, ekonomi, sosial, tenaga, kecerdasan buatan, pusat data serta keselamatan siber.

“Dalam pertemuan itu, Sir John Chipman menyatakan kekaguman akan peranan Malaysia dalam menyuarakan kepentingan sejagat serta ketegasan dalam hal-hal terkait situasi di Timur Tengah.

“Saya berkongsi aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, yakni keutamaan adalah agar rantau ini aman, stabil dan makmur supaya rakyat di negara-negara ASEAN dapat bergerak seiring ke hadapan, selain kepentingan hubungan akrab dengan pelbagai negara sebagai kunci utama mewujud hubungan diplomatik yang utuh dalam berhadapan pelbagai cabaran global yang dinamik,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata John Chipman turut memanjangkan undangan IISS-Asia kepada beliau untuk memberikan ucapan khas sewaktu Shangri-La Dialoge 2025, yang akan diadakan pada 31 Mei depan di Singapura.

Anwar berkata IISS-Asia juga melihat peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 amat penting serta hala tuju yang digerakkan pada tahun ini memberikan impak bukan sahaja kepada rantau Asia Pasifik, malahan ia mendapat perhatian dunia.

“Malah Malaysia turut diundang untuk berperanan dalam IISS Manama Dialoge 2025 pada Oktober kelak.

“Justeru, undangan-undangan ini merupakan suatu penghargaan kepada negara yang menterjemah pengiktirafan dunia terhadap peranan penting Malaysia, sekali gus suatu penghargaan ini merupakan suatu bentuk kejayaan Malaysia yang dihormati dunia,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.