SUBANG JAYA, 4 APRIL: Seramai 194 pelajar terlibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, pada Selasa menerima bantuan pakaian seragam dan kelengkapan sekolah.
Timbalan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor berkata sumbangan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berjumlah RM77,600 itu diserahkan kepada 134 murid sekolah rendah serta 60 pelajar sekolah menengah.
Tan Sri Mazlan Mansor yang juga pengerusi Yide berkata pihaknya turut menyerahkan bantuan wang tunai RM500 kepada 17 pelajar institusi pengajian tinggi dan RM100 kepada lapan pelajar taska.
[caption id="attachment_694897" align="aligncenter" width="626"] Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Tan Sri Mazlan Mansor menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran saluran gas dalam majlis penyerahan baju sekolah di Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 4 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pelajar sekolah menerima dua set pakaian serta alatan tulis. Bantuan ini untuk memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa gangguan kelengkapan asas.
“Ini selari titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Ahah Alhaj yang mahu mangsa pergi ke sekolah.
“Jadi kita akan jaga kebajikan dan pastikan mangsa ada pakaian dan pengangkutan ke sekolah,” katanya pada majlis serahan bantuan di Masjid Putra Heights, hari ini.
Mazlan berkata sembilan pengangkutan khas turut disediakan bagi memudahkan urusan persekolahan pelajar yang tinggal di pusat pemindahan sementara Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia Putra Heights.
Sementara itu pengarah Jabatan Pendidikan Selangor berkata seramai sembilan guru dikenal pasti terlibat dengan kejadian berkenaan.
[caption id="attachment_694896" align="aligncenter" width="685"] Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Tan Sri Mazlan Mansor menyampaikan sumbangan kepada pelajar IPTA dalam majlis penyerahan baju sekolah kepada mangsa kebakaran saluran gas di Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 4 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bagaimanapun Dr Jafri Abu yakin jumlah berkenaan meningkat memandangkan ketika ini ada antara penduduk masih berada di kampung menyambut perayaan.
“Mengikut ketetapan kerajaan, kita benarkan mereka bekerja dari rumah sekiranya ada membuat permohonan,” katanya.