ad
AGENDA

Laporan awal kebakaran paip gas Putera Heights dijangka siap dalam dua minggu

4 Apr 2025, 12:00 PM
Laporan awal kebakaran paip gas Putera Heights dijangka siap dalam dua minggu
Laporan awal kebakaran paip gas Putera Heights dijangka siap dalam dua minggu
Laporan awal kebakaran paip gas Putera Heights dijangka siap dalam dua minggu

SUBANG JAYA, 4 APRIL: Laporan awal hasil siasatan letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini dijangka siap dalam tempoh dua minggu, maklum ketua polis Selangor.

Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan berkenaan akan dibentang selepas kerja penstabilan tanah oleh pelbagai agensi di kawasan terjejas selesai sepenuhnya.

“Apabila kawasan sudah stabil, barulah ekskavasi (penggalian) boleh dilakukan bagi mengumpul bukti fizikal seperti sisa paip dan bahan letupan.

“Keadaan cuaca turut memainkan peranan dalam kelancaran siasatan. Kawah letupan kini dipenuhi air akibat hujan. Proses pengeringan sedang dilakukan.

“Jabatan Kerja Raya menjangkakan dua minggu untuk laporan awal dan dua minggu lagi untuk laporan penuh,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian, Putra Heights, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

[caption id="attachment_694886" align="aligncenter" width="815"] Keadaan lokasi tragedi letupan paip gas di Putra Heights ketika tinjauan Media Selangor pada 4 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Hussein turut memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus yang turut melibatkan pelbagai agensi lain.

“Kita jalankan siasatan secara profesional, telus dengan penglibatan semua agensi berkaitan. Laporan awal akan diumum dalam pertengahan bulan ini apabila semuanya dimuktamadkan,” katanya lagi.

Kebakaran melibatkan saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lepas, secara keseluruhannya melibatkan 1,254 orang daripada 308 keluarga.

Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan keseluruhan dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.

[caption id="attachment_694852" align="aligncenter" width="812"] Penduduk terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April 2025 ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Putra Heights. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.