SUBANG JAYA, 4 APRIL: Polis mengesahkan wujudnya aktiviti mengorek tanah pada jarak 30 meter dari lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal pihaknya mendapati aktiviti tersebut melibatkan kerja penggantian paip kumbahan sedia ada di kawasan itu.
Menurutnya lagi, polis perlu menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada kerja pengorekan tanah itu adalah punca kejadian letupan terbabit.
“Aktiviti ini turut melibatkan penggunaan dua jentera berat iaitu sebuah backhoe dan sebuah excavator namun kerja-kerja ekskavasi dihentikan pada 30 Mac lalu, iaitu dua hari sebelum kejadian.
“Jadi, hasil siasatan polis dapati excavator yang diletak terbenam dalam lubang tersebut.
“Adakah aktiviti korek tanah lubang itu boleh meletuskan letupan paip gas ini, kita masih perlu masa untuk mengetahui perkara ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, petang ini.
Dalam pada itu, Hussein menambah seramai 56 saksi telah dipanggil dirakam kenyataan terdiri daripada kontraktor, pekerja, mangsa termasuk seorang pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian ketika letupan.
“Buat masa ini kita telah mengenal pasti seorang saksi yang berada di tempat kejadian sewaktu letupan berlaku, pengawal keselamatan yang turut mengalami kecederaan di bangunan kedai yang baru didirikan di situ.
“Jadi pihak polis sedang mengumpul maklumat dari saksi ini selain menerima 20 rakaman video dash cam untuk siasatan,” ujarnya.
Kebakaran melibatkan saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lepas, secara keseluruhannya melibatkan 1,254 orang daripada 308 keluarga.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan keseluruhan dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.