Oleh Dewi Abdul Rahman
SUBANG JAYA, 4 MAC: Laporan awal insiden kebakaran saluran gas di Putra Harmoni, Putra Heights yang memusnahkan deretan rumah di kawasan itu diumum petang ini.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata ia akan diterangkan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
"Kita tidak akan beri dalam bentuk bertulis sebaliknya bentang perincian laporan penemuan terbaharu, sejauh mana sisatan telah dijalankan sejak 72 jam lalu dan sebahagiannya telah dikenal pasti.
"Namun untuk laporan teknikal yang lebih lengkap kita masih perlukan masa mengambil kira struktur tanah dan sebagainya, semua itu akan diperincikan nanti oleh ketua polis dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),"jelasnya.
[caption id="attachment_694800" align="alignleft" width="468"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika sidang media dalam majlis penyerahan kenderaan Chery di Masjid Putra Height, Subang Jaya pada 4 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN[/caption]
Katanya laporan bertulis akan disiarkan kepada umum setelah semua maklumat berkenaan lengkap kelak.
"Seperti dapatan tanah runtuh Batang Kali sebelum ini, laporan telah diberikan kepada ahli keluarga walaupun ada yang kata ia (permohonan) laporan belum ditunaikan, dan sebenarnya kita sudah pun siarkan dapatan oleh pasukan teknikal, bukan laporan dibuat sendiri oleh Menteri Besar.
"Pastinya kita akan siarkan juga dapatan ini nanti bila siap sepenuhnya,"katanya kepada media di Masjid Putra Heights di sini.
Kebakaran melibatkan saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lepas, secara keseluruhannya melibatkan 1,254 orang daripada 308 keluarga.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan keseluruhan dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.