ad
AGENDA

Kementerian Digital urus permohonan ganti peranti mangsa kebakaran paip gas

4 Apr 2025, 5:21 AM
Kementerian Digital urus permohonan ganti peranti mangsa kebakaran paip gas
Kementerian Digital urus permohonan ganti peranti mangsa kebakaran paip gas

SUBANG JAYA, 4 APRIL: Kementerian Digital akan menguruskan permohonan gantian peranti digital buat mangsa yang terjejas dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata permohonan boleh dibuat di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) dan juga pejabat Ahli Parlimen.

“Ketika lawatan di pusat pemindahan sementara pagi tadi, ramai mangsa memberitahu peranti mereka rosak dalam insiden ini. Kita dalam proses untuk melihat bagaimana menggantikannya.

“Saya harap dalam sehari dua ini dapat kita umumkan, mereka yang perlukan bantuan khususnya dari sudut gantian peranti boleh buat permohonan dan kita akan uruskan dalam masa yang terdekat,” katanya.

[caption id="attachment_694814" align="alignleft" width="522"] Menteri Digital, Gobind Singh Deo melawat mangsa kebakaran selepas meninjau lokasi tragedi letupan paip gas di Putra Heights dan melawat Bilik Gerakan di hadapan laluan masuk ke Putra Harmoni pada 04 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Ditemui pemberita di lokasi kejadian, Gobind memberitahu tinjauan yang dilakukan hari ini bertujuan melihat sejauh mana kerosakan dan masalah yang telah berlaku dan apakah bentuk bantuan yang dapat disalurkan.

“Kita lihat di kawasan ini, memang ramai yang terjejas dan banyak bantuan yang diperlukan. Jadi hari ini kementerian lihat dan datang sendiri untuk meninjau, laporan tinjauan akan dibawa ke Kabinet.

“Fokus (kerajaan) sekarang bagaimana boleh membantu mereka yang terkesan dari sudut melihat secepat mana mereka boleh kembali ke rumah semula, masalah dihadapi dan bagaimana untuk membantu meringankan beban,” ujarnya.

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.

Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.