ad
AGENDA

Bas percuma bawa 464 mahasiswa pulang ke kampus

4 Apr 2025, 4:29 AM
Bas percuma bawa 464 mahasiswa pulang ke kampus
Bas percuma bawa 464 mahasiswa pulang ke kampus

Oleh Aida Nyan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Seramai 464 mahasiswa dari institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dihantar pulang ke kampus secara berperingkat selama dua hari mulai hari ini.

Inisiatif menerusi Program Bas Percuma Mahasiswa Pulang Kampus dengan peruntukan RM60,000 bagi membantu ibu bapa yang mempunyai kekangan menghantar anak, kata Dato' Menteri Besar.

"Mungkin ada ibu bapa yang mempunyai kekangan daripada segi kos dan masa untuk menghantar anak-anak kembali ke universiti. Apatah lagi universiti di Pantai Timur kebanyakan bermula Ahad.

"Pada 2022, kita pernah membawa pelajar pulang ke kampus semasa Covid-19 dan pilihan raya. Kali ini, kita permudahkan perjalanan mereka ke kampus," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

[caption id="attachment_694787" align="aligncenter" width="812"] Seorang pelajar memasukkan beg ke dalam bas pada program Mahasiswa Pulang Ke Kampus 2025 di Dataran SUK, Shah Alam pada 4 April 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.[/caption]

Ditemui selepas menyempurnakan majlis flag-off di sini, beliau menambah program itu akan diperluas pada masa hadapan supaya mahasiswa dalam kalangan anak Selangor menerima manfaat.

"Kami akan pertimbangkan mungkin beri subsidi atau kelonggaran tambang bas bergantung pada keadaan dan kemampuan," katanya lagi.

Sebanyak 13 bas disediakan bagi program itu, dengan enam bas dilepaskan ke kawasan Pantai Timur hari ini, manakala tujuh lagi ke kawasan utara dan selatan esok.

IPT terlibat antaranya Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknologi Mara Machang, Institut Perguruan Sultan Mizan dan Politeknik Hulu Terengganu, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.