Oleh Dewi Abdul Rahman
SUBANG JAYA, 4 APRIL: Selangor menawarkan lebih 100 penempatan sementara kepada mangsa yang terkesan susulan kebakaran saluran paip gas di Taman Putra Harmoni Putra Heights, Selasa lalu.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata tawaran menerusi Skim Smart Sewa disediakan seawal minggu depan di Kota Warisan, Sepang, manakala sebahagian lagi akan diumum kemudian.
"Kalau berjalan dengan baik dalam seminggu dua lagi mereka boleh ditempatkan di Rumah Selangorku dan Airbnb yang akan ditentukan nanti.
"Kita akan cuba biayai sebahagian melalui sumbangan dan peruntukan kerajaan Persekutuan, "katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
[caption id="attachment_694800" align="alignleft" width="460"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika sidang media dalam majlis penyerahan kenderaan Chery di Masjid Putra Height, Subang Jaya pada 4 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN[/caption]
Amirudin berkata keputusan tersebut akan diumumkan selepas perjanjian dimuktamadkan dan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa supaya tekanan dihadapi mangsa di PPS boleh dikurangkan.
Pada masa sama, jelasnya, bantuan segera berjumlah RM5,000 dan RM2,500 akan diagihkan secara berperingkat minggu depan selepas penelitian data dan dokumen dibuat
"Minggu seterusnya kita akan menempatkan mangsa keluar dari PPS ke kediaman sementara yang disubsidi kerajaan. Kita akan lihat tawaran lokasi yang diberikan.
"Kita tidak boleh janjikan di sini (Subang Jaya) kerana aset yang terhad tetapi kita terima tawaran yang paling dekat dengan kawasan ini terlebih dahulu," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin turut menjangkakan lebih ramai mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini, termasuk mengambil dokumen penting.
Kebakaran paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.