ad
AGENDA

Warga emas sanggup terjun sungai, selamatkan cucu dari melecur

4 Apr 2025, 1:00 AM
Warga emas sanggup terjun sungai, selamatkan cucu dari melecur
Warga emas sanggup terjun sungai, selamatkan cucu dari melecur

SUBANG JAYA, 4 APRIL: Api marak diiringi jerit tangis kanak-kanak menyebabkan warga emas tekad melompat ke dalam sungai dari tebing setinggi tujuh meter bagi menyelamatkan keadaan.

Salbiah Arifin, 63, mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights berkata dia hanya memikirkan keadaan empat cucunya berserta beberapa penduduk lain yang panik melihat julangan api.

Hanya satu jalan, pesara Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu berlari sejauh 100 meter dari kediamannya di Kampung Kuala Sungai Baru ke arah sungai, lalu terjun.

“Masa itu semua kelam kabut. Saya fikirkan keselamatan cucu tetapi semua takut untuk terjun. Saya nekad terjun, kemudian gunakan pokok pisang sebagai gelongsor untuk mudahkan mereka turun.

“Ada sekitar 10 ke 11 orang semuanya, yang terakhir lompat ibu muda bersama bayinya. Tetapi badan kedua-duanya melecur sempat disambar api kerana dia takut untuk menggelongsor.

[caption id="attachment_694749" align="alignleft" width="402"] Mangsa kebakaran saluran paip gas Salbiah Ariffin ditemui media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 3 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Kami duduk lama dalam sungai sampai keadaan reda sambil tenangkan kanak-kanak. Mereka menangis ketakutan. Kami jerit minta bantuan, orang awam datang selamatkan,” katanya kepada Media Selangor.

Akibat tindakan berkenaan, Salbiah cedera di bahagian kaki akibat tisu koyak. Dia dibenarkan keluar hospital dan kini ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Mengimbau insiden letupan saluran paip gas itu, katanya, sebahagian rumah terbakar, namun tindakan mengambil insurans bencana pada 2021 menyelamatkannya daripada menanggung kerugian besar.

“Pada 2021, rumah kena banjir besar. Disebabkan musibah itu, saya ambil insurans dan tidak pernah hentikan. Syukurlah tindakan itu membantu kami berdepan bencana ini,” katanya.

Setakat jam 1 tengah hari semalam, seramai 339 mangsa daripada 89 keluarga ditempatkan di dewan berkenaan yang dibuka sejak 1 April.

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70x80 kaki.

Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.