Oleh Dewi Abdul Rahman
SUBANG JAYA, 4 APRIL: Penduduk yang terjejas ekoran kebakaran saluran paip gas di Putra Heights menuntut pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Ini berikutan rumah yang didiami itu satu-satunya tempat berteduh dan kerosakan harta benda susulan insiden yang berlaku pada 1 April memberi kesan besar kepada kehidupan seharian mereka.
[caption id="attachment_694724" align="alignleft" width="311"] Chan Weng Hoi[/caption]
Salah seorang penduduk Chan Weng Hoi, 64, yang masih trauma meluahkan kebimbangan dan menanti tindakan lanjut bagi membolehkan dia kembali ke rumah tanpa perlu berdepan risiko berpanjangan.
"Rumah saya tiada kerosakan serius berbanding jiran-jiran, namun air masuk ke dalam rumah melalui bumbung yang bocor. Saya tiada pilihan lain kerana ia satu-satunya tempat tinggal saya," katanya.
Ismail Jais, 67, pula menganggap dirinya bernasib baik kerana rumahnya di hujung daripada lokasi kejadian, namun bumbung rumahnya bocor akibat terkena serpihan batu dari kawasan kebakaran.
"Saya harap bantuan dapat diberikan segera. Saya tiada tempat lain untuk tinggal dan berharap masalah ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya yang kini menumpang di rumah anaknya.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 42, sedih apabila kediaman yang didiami sejak 15 tahun lalu masih tidak sesuai untuk diduduki setakat ini.
[caption id="attachment_694723" align="alignright" width="360"] Yati[/caption]
"Keadaan semakin teruk hari ini, dan rumah saya masih tidak sesuai untuk didiami. Sekarang saya sedang mencari rumah untuk disewa buat sementara waktu," keluhnya.
Sementara itu, wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas berkata pihaknya akan berkerjasama dengan persatuan penduduk untuk menyampaikan maklumat terkini, termasuk bantuan dari semasa ke semasa.
"Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning sudah salurkan bantuan makanan dan menyediakan pusat pemindahan sementara kepada 20 penduduk terjejas," katanya ketika ditemui.
Bermula pagi tadi, seramai 115 pemilik rumah dibenarkan masuk ke kediaman masing-masing secara berfasa untuk memeriksa keadaan rumah diiringi pegawai dan anggota agensi berkaitan.
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70x80 kaki.
Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.