SHAH ALAM, 3 APRIL: Jajaran atau saluran paip gas khususnya di Subang Jaya akan diteliti semula selepas siasatan insiden letupan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights selesai.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata penelitian jangka masa panjang itu merujuk laporan teknikal termasuk pemeriksaan dengan Petronas Gas mengikut piawaian ditetapkan.
"Ada cadangan untuk teliti, namun jajaran gas panjang hampir sebahagian besar Subang Jaya direntangi saluran paip yang berdekatan dengan kawasan tertentu.
"Bagaimanapun kita akan periksa dengan Petronas Gas dan pada masa sama semak semua aktiviti dijalankan menepati syarat supaya memastikan mengikut tatakelola ditetapkan," katanya.
[caption id="attachment_694727" align="aligncenter" width="748"] Beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan perumahan hangus sepenuhnya susulan insiden kebakaran melibatkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, ketika tinjauan pada 3 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]
Bercakap dalam sidang media hari ini, jelasnya, laporan awal akan dimaklumkan ketua polis Selangor bersama pasukan teknikal yang akan dijelaskan bersesuaian dengan kepakaran masing-masing.
Pada masa sama, Amirudin berkata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sedang menilai jumlah kerosakan dan mengenal pasti kesan insiden itu dalam aspek ekonomi dan harta benda.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya menugaskan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk menjalankan proses pembersihan dibantu MBSJ dan Sukarelawan Selangor (SERVE).
"Kita anggarkan esok seramai 100 ahli SERVE akan membantu dalam misi pembersihan. Mana-mana pihak atau sukarelawan yang ingin bantu boleh daftar dengan SERVE yang diuruskan Majlis Sukan Negeri.
"Team Selangor akan uruskan pasukan ini supaya turun ke lapangan dan mudahkan segala urusan kerana kawasan agak terhad, kita tidak mahu ada kesesakan dan ganggu siasatan yang dijalankan," katanya.