SHAH ALAM, 3 APRIL: Selangor akan berbincang dengan Petronas esok berhubung penempatan sementara mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata terdapat beberapa formula yang sedang dibincang sebelum dimuktamadkan pada Ahad atau selewat-lewatnya Isnin depan.
"Kita menjunjung titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang mahu penempatan sementara disediakan kepada mangsa supaya mereka selesa.
"Kita akan berbincang supaya dapat laksana sokongan kepada mangsa, namun paling kurang mereka perlu tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) seminggu untuk proses berkenaan," katanya.
[caption id="attachment_694703" align="aligncenter" width="730"] Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemulihan Kawasan Putra Heights di Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor pada 3 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Bercakap dalam sidang media hari ini, Amirudin berkata banyak tawaran diterima untuk menempatkan mangsa yang kehilangan rumah selama beberapa bulan antaranya Airbnb, namun ia perlu diteliti.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengaktifkan semula Tabung Prihatin untuk disalurkan kepada mangsa, selain bantuan berkaitan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau menambah mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS turut diberikan sokongan seperti kesihatan mental selain pembukaan kaunter berkaitan bagi pembaharuan dokumen.
"Contohnya hari ini terdapat beberapa yang berdaftar dan mengemas kini maklumat bagi memastikan dokumen utama dan proses seperti insurans, kesihatan diterima sepanjang berada di PPS," katanya.
[caption id="attachment_694699" align="aligncenter" width="812"] Mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas memilih pakaian yang disumbangkan orang ramai ketika tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 3 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Amirudin turut mengingatkan orang ramai tidak menjadikan PPS sebagai tempat longgokan barangan, sebaliknya bantuan perlu diagihkan mengikut keperluan mangsa.
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70x80 kaki.
Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.