SHAH ALAM, 3 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menguruskan bantuan bagi pemulihan mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.
Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Mais melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyalurkan bantuan kepada pelajar persekolahan yang terkesan.
Baginda turut menitahkan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor digunakan untuk bantuan kewangan kepada Yide bagi disalurkan kepada pelajar, termasuk yang bukan beragama Islam.
[caption id="attachment_694496" align="aligncenter" width="699"] Keadaan semasa di kawasan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights ketika tinjauan setakat 12 tengah hari, pada 2 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]
"DYMM Sultan Selangor menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi yang berlaku dan Baginda juga mengharapkan agar mangsa dan keluarga mereka dapat menghadapi ujian Allah SWT ini dengan penuh kesabaran," menurut kenyataan itu di Facebook.
Pada masa sama, Baginda menitahkan pihak pengurusan masjid dan surau berdekatan lokasi tragedi itu bersedia untuk digunakan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) kepada mangsa yang terlibat.
Sultan Selangor juga menitahkan aktiviti solat fardu berjemaah dilaksanakan seperti biasa di masjid dan surau dan tidak ditangguhkan sepanjang rumah ibadah itu digunakan sebagai PPS.
"Baginda turut menitahkan Lembaga Zakat Selangor mengenal pasti jumlah mereka yang mengalami kemusnahan dan kerosakan harta benda bagi menyalurkan bantuan bersesuaian," katanya.
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70x80 kaki.
Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.