ad
AGENDA

MB: Bantuan mangsa kebakaran paip gas disalur Isnin depan

3 Apr 2025, 9:55 AM
MB: Bantuan mangsa kebakaran paip gas disalur Isnin depan
MB: Bantuan mangsa kebakaran paip gas disalur Isnin depan

SHAH ALAM, 3 APRIL: Bantuan segera yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights akan disalurkan mulai Isnin depan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan semua data mangsa kebakaran sedang dikumpul bagi memastikan tiada sesiapa tercicir daripada menerima bantuan tersebut.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri sedang memurnikan data penduduk terkesan supaya tidak timbul isu mengambil kesempatan atau tercicir daripada menerima bantuan.

"Pengumpulan data akan diketuai unit bencana daerah dengan kerjasama JKM, Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Petronas. Proses penyampaian bantuan segera seawal Isnin depan," katanya.

[caption id="attachment_694702" align="aligncenter" width="751"] Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemulihan Kawasan Putra Heights di Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor pada 3 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Bercakap pada sidang media khas di sini hari ini, Amirudin yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri berkata taklimat khas berkaitan insiden tersebut akan diadakan secara harian.

Jelasnya, ia dibuat berselang seli dengan timbalan pengerusi jawatankuasa itu yang juga Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar berhubung dasar keputusan keseluruhan dan aspek siasatan.

"Untuk aspek teknikal dikendali Jabatan Kerja Raya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), manakala siasatan pula berhubung kecuaian atau jenayah.

"Setakat ini kita terima 108 laporan polis dan semua maklumat, klip video diambil maklum serta semua pihak terbabit akan dipanggil," katanya.

Kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500m yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.