ad
AGENDA

JPN sedia perkhidmatan percuma ganti kad pengenalan, sijil kelahiran

3 Apr 2025, 7:30 AM
JPN sedia perkhidmatan percuma ganti kad pengenalan, sijil kelahiran
JPN sedia perkhidmatan percuma ganti kad pengenalan, sijil kelahiran

SUBANG JAYA, 3 APR: Mangsa insiden kebakaran saluran paip gas boleh membuat gantian kad pengenalan secara percuma di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata perkhidmatan disediakan menerusi Bas Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, turut menyediakan gantian sijil kelahiran dan dokumen berkaitan.

Menurut Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, perkhidmatan disediakan bermula hari ini sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian bagi memudahkan mangsa mendapatkan dokumen gantian.

“Setakat ini, JPN selesaikan 19 gantian kad pengenalan dan 43 cabutan sijil kelahiran dan kita jangka ia akan bertambah dari semasa ke semasa. Kita faham kerana dokumen ini penting dan pasti mereka memerlukannya untuk dapatkan bantuan dan urusan lain.

“Kementerian Dalam Negeri simpati dengan mangsa terlibat dan harap bersabar. Pihak kerajaan dan agensi berkaitan sedang bertungkus lumus membantu dalam apa keadaan sekali pun dengan menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau PPS berkenaan yang menempatkan seramai 339 mangsa daripada 89 keluarga setakat 1 tengah hari tadi.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan perkhidmatan percuma gantian lesen memandu kepada mangsa insiden kebakaran itu.

Menurutnya, JPJ turut menyediakan perkhidmatan gantian Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan gantian Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bermula hari ini hingga esok di Masjid Putra Heights dan akan dilanjutkan mengikut keperluan.

[caption id="attachment_694673" align="aligncenter" width="698"] Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah bercakap kepada media selepas menyantuni mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 3 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.