ad
AGENDA

Tragedi Putra Heights: Elak buat andaian, kenyataan mengelirukan

3 Apr 2025, 6:51 AM
Tragedi Putra Heights: Elak buat andaian, kenyataan mengelirukan
Tragedi Putra Heights: Elak buat andaian, kenyataan mengelirukan

SUBANG JAYA, 3 APRIL: Orang ramai perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Timbalan menteri dalam negeri turut meminta masyarakat tidak menyebarkan berita atau maklumat kurang sahih untuk mengelakkan suasana tidak baik dan menyulitkan keadaan.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan pihak berkuasa akan terus memantau dan tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan.

“Kepada rakyat di luar sana, dapatkan maklumat rasmi dan dalam waktu ini, elak mengeluarkan kenyataan atau andaian terutama sekali menggunakan media sosial yang akan menyulitkan keadaan.

[caption id="attachment_694658" align="alignleft" width="454"] Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah bercakap kepada media selepas menyantuni mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 3 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Kita harap orang ramai tidak menyebar berita atau maklumat tidak benar yang mengelirukan. Ikuti kenyataan media rasmi jawatankuasa terlibat bagi mengelak berlaku kekeliruan,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pusat pemindahan sementara Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini, yang menempatkan seramai 339 mangsa daripada 89 keluarga setakat 1 tengah hari tadi.

Dalam pada itu, Dr Shamsul Anuar berkata sebanyak 108 laporan polis diterima setakat ini daripada mangsa, kebanyakan berkait kemusnahan harta benda dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Beliau menambah tiada laporan kecurian diterima di kawasan terlibat setakat ini dan menyatakan komitmen polis mengawal keselamatan kawasan itu dengan kekuatan 116 anggota.

“Saya bagi jaminan bahawa pihak polis sentiasa mengawal keselamatan terutama di rumah kediaman yang ditinggalkan dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.