SHAH ALAM, 3 APRIL: Mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya diberikan kaunseling melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata langkah itu sebahagian proses pemulihan mangsa yang terkesan dan dalam kesedihan akibat kejadian luar jangka tersebut.
“Menerusi lawatan semalam, sebahagian mangsa yang ditemui masih dalam kesedihan atas pelbagai faktor termasuk kehilangan harta benda selain mengalami kecederaan.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui JKM memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa agar dapat bantu pulih dan stabilkan emosi mereka,” katanya dihubungi Media Selangor.
[caption id="attachment_694600" align="alignleft" width="441"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (kanan) ketika bertemu pengamal media selepas menyantuni mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 2 April 2025. Foto BERNAMA.[/caption]
Semalam, Anfaal bersama Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Siti Faridah Abdul Samad menyampaikan bantuan di pusat pemindahan sementara Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Bantuan itu merangkumi pakaian, susu kanak-kanak, tuala wanita, lampin pakai buang bayi, kain sarung lelaki dan perempuan bagi memenuhi keperluan asas mangsa.
Dalam pada itu, Anfaal berkata mesyuarat bencana dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan diadakan petang ini bagi membincangkan bantuan bersesuaian kepada mangsa.
“Mesyuarat tindakan bencana petang ini akan membincangkan pelbagai perkara untuk pastikan penyelesaian terbaik bagi mangsa kebakaran.
"Bagaimanapun, kes masih dalam siasatan polis. Jadi pampasan sewajarnya akan dibuat pihak bertanggungjawab,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor mengesahkan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Putra Heights, dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter.
Seramai 78 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan sembilan balai bomba dan penyelamat antaranya Subang Jaya, Puchong, Shah Alam dan Rawang.
Susulan kejadian itu, sebanyak 78 kediaman rosak sepenuhnya, termasuk 327 kenderaan di kawasan seluas 28 hektar meliputi dua lokaliti iaitu Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.