ad
BERITA UTAMA

Dari Ramadan ke Syawal, penduduk Palestin sengsara dihujani bom

2 Apr 2025, 1:00 PM
Dari Ramadan ke Syawal, penduduk Palestin sengsara dihujani bom
Dari Ramadan ke Syawal, penduduk Palestin sengsara dihujani bom

Meski gencatan senjata dimeterai, penduduk Palestin belum lepas dari sengsara perang, mereka terus diasak siri serangan rejim Israel termasuk pengeboman sepanjang Ramadan.

Kezaliman tersebut yang dianggap mencabuli perjanjian pada 19 Januari ketika proses pertukaran tahanan masih berlangsung, mengakibatkan ratusan penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak maut dihujani bom.

Paling buruk, serangan udara ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac yang mengorbankan lebih 700 orang. Dianggarkan, lebih 1,200 lagi cedera. Sekitar 70 peratus daripadanya terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.

Tidak sampai 24 jam, serangan bertali arus lagi. Kali ini mengakibatkan 60 nyawa melayang. Kem pelarian Nuseirat dihujani bom. Rumah orang awam juga dibedil.

Lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) juga antara korban serangan udara tentera Israel di Beit Lahiya, utara Gaza pada 15 Mac.

Menurut Ketua Aktivis Mapim Datuk Sani Araby, Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad sedang mendirikan khemah untuk keluarga mangsa pelarian ketika dibom.

Kekejaman berterusan itu mengundang amarah dunia khususnya negara Islam termasuk Malaysia. Bantahan keras dibuat secara rasmi terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

“Kita mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas sukarelawan Mapim yang bertugas untuk (misi) kemanusiaan seperti membantu pesakit dan sebagainya,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Mac.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sehari kemudian turut melontar kecaman sambil menyifatkan serangan itu jenayah kejam dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Ini pencabulan nyata terhadap gencatan senjata yang dibuat dengan melibatkan serangan udara rejim Zionis,” katanya sambil menjelaskan Selangor giat bekerjasama dengan Mapim sejak tahun lepas untuk membantu rakyat Palestin.

Beliau juga mengadakan perbincangan bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk menghantar derma bagi membina kemudahan asas di wilayah bergolak itu.

Sebelum itu pun, Selangor banyak menjalankan pelbagai bantuan kemanusiaan ke Palestin. Pada 2021, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin.

Bantuan yang dihulur hasil kutipan tabung berkenaan antaranya ambulans, kelengkapan perubatan, kenderaan bantuan kemanusiaan, bantuan untuk hospital di Gaza dan makanan.

Sultan Sharafuddin juga berkenan menyampaikan Dana Bantuan Kemanusiaan Umat Islam Palestin sebanyak RM4.4 juta kepada Tabung Musa’adah Palestin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hasil kutipan di masjid dan surau seluruh Selangor.

[caption id="attachment_638503" align="alignnone" width="1029"] Sekumpulan kanak-kanak bermain di tengah puing runtuhan bangunan di Bandar Gaza ketika sambutan Aidilfitri pada 11 April 2024. Foto REUTERS[/caption]

Tarawih celah runtuhan

Kerajaan Negeri juga mengadakan pelbagai program tanda kebersamaan bersama Palestin antaranya Panggilan Intifada: Doa Untuk Palestin menjelang tahun baharu.

Sebenarnya, serangan terbaharu itu hadir saat penduduk berdepan masalah kemudahan asas termasuk bekalan elektrik, air dan sistem kesihatan yang jauh dari mencukupi. Kehidupan yang terhimpit kini ditekan perang.

Namun, Ramadan disambut jua seadanya. Solat tarawih diadakan di celah-celah sisa bangunan. Di sebelah runtuhan Masjid Agung Omari, masjid terbesar dan tertua di Gaza, mereka menghampar tikar untuk menunaikan ibadah tersebut.

Sebahagian besar binaan berusia 1,400 tahun itu rosak teruk. Menaranya musnah. Ia antara 1,109 daripada 1,244 masjid yang musnah atau rosak teruk akibat serangan tentera Israel.

Penduduk Palestin juga berdepan masalah bekalan air yang runcing. Mekorot, sebuah syarikat air, antara sumber utama bagi Semenanjung Gaza tetapi syarikat itu dikawal penuh rejim Israel.

Kekurangan bekalan tersebut membimbangkan. Kanak-kanak terpaksa beratur berjam-jam untuk mendapatkan hanya satu liter air atau terpaksa minum bekalan tercemar.

“Kanak-kanak sedang mati akibat penyahhidratan serta kekurangan akses kepada makanan dan ubat-ubatan,” kata Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang menuduh Israel menggunakan air sebagai strategi sistematik untuk mengusir rakyat Palestin.

Kekurangan air mengancam nyawa orang ramai dan membawa kepada kemerosotan kesihatan awam selain mengakibatkan penyebaran penyakit. Pada masa sama, bekalan perubatan juga terhad.

“Penghantaran bantuan meningkat ketara sepanjang tempoh gencatan senjata tetapi ia terlalu kecil berbanding keperluan di lapangan,” menurut Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Kurang seminggu sebelum Syawal, belum ada tanda-tanda serangan itu surut. Bedilan bom terus kedengaran. Kematian seakan-akan mengintai mereka. Bom dan peluru jadi ‘juadah’ Aidilfitri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.