ad
AGENDA

CIDB: Tiada aktiviti pembinaan hari insiden kebakaran paip gas

2 Apr 2025, 12:15 PM
CIDB: Tiada aktiviti pembinaan hari insiden kebakaran paip gas

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Tiada sebarang aktiviti pembinaan dilakukan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya ketika kejadian semalam berdasarkan siasatan awal Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

CIDB dalam kenyataan memaklumkan pasukan Penguatkuasaan CIDB Selangor diketuai Pengarahnya Heryanti Hilmi hadir ke lokasi kejadian hari ini bagi mendapatkan maklumat daripada agensi dan kontraktor terlibat sebagai sebahagian proses siasatan.

Heryanti dalam kenyataan itu dipetik sebagai berkata siasatan di lokasi kejadian menunjukkan tapak pembinaan 10 unit kedai pejabat dua tingkat yang dikaitkan warganet dengan letupan paip gas tersebut sebenarnya terletak 30 meter daripada lokasi insiden.

“Laporan yang kami terima daripada kontraktor menunjukkan hanya terdapat kerja-kerja pembentungan yang dilakukan di tapak pembinaan tersebut pada pada 30 Mac manakala kerja-kerja penyenggaraan dalaman (house keeping) dilakukan pada 31 Mac.

“Laporan menunjukkan tiada sebarang kerja pembinaan yang sedang berlaku di tapak tersebut pada 1 April 2025, semasa kejadian berlaku,” katanya.

CIDB memaklumkan ketika kejadian penolong pengurus projek berada di kediamannya dan menerima panggilan telefon daripada jurutera projek pada 8.32 pagi yang memaklumkan terdapat satu insiden letupan dan kebakaran berdekatan tapak pembinaan.

"Semasa kejadian, terdapat seorang pengawal warga tempatan dan seorang pekerja asing berada di tapak pembinaan projek, kedua-duanya dikejarkan ke hospital akibat kecederaan," menurut kenyataan itu.

Kes dalam siasatan lanjut kerana CIDB masih menunggu dokumen sokongan lain bagi mendapatkan klasifikasi insiden di bawah skop pematuhan Akta 520.

Semalam, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kebakaran pada 8.10 pagi itu berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat pada sidang media pagi tadi memaklumkan seramai 111 mangsa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dengan 13 daripadanya berada di zon merah.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.