Oleh Ufairah Tarmidzi
SUBANG JAYA, 2 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menyantuni mangsa kebakaran saluran paip gas di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Tengku Amir Shah yang tiba kira-kira jam 3.10 petang disambut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Anuar Hamzah Tohar.
Baginda juga berkenan melawat setiap khemah untuk bertemu dengan 323 mangsa daripada 84 keluarga, jumlah mangsa yang direkodkan setakat 12.30 tengah hari tadi.
[caption id="attachment_694521" align="alignnone" width="851"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTP) pada 2 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu, Tengku Amir Shah berkenan melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTP) di Subang Jaya diiringi EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi dan EXCO Kemajuan Desa Dato’ Rizam Ismail.
Sebelum ini, Dato’ Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim memaklumkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) akan melakukan pembersihan di lokasi kebakaran.
Katanya, proses tersebut dijangka mengambil masa selama dua hari bagi memastikan kawasan tersebut selamat sebelum membenarkan mangsa pulang ke kediaman mereka.