OLEH NADIAH ZAMLUS
Tidak lengkap perayaan tanpa drama Aidilfitri di kaca televisyen. Membawa tema kekeluargaan, telefilem berjudul Hanya Kita bakal memeriahkan lagi suasana Syawal pada tahun ini.
Dipancar jam 9 malam hingga 10.30 malam pada 21 April di saluran TV2, karya terbitan Kerajaan Selangor itu dibarisi pelakon terkenal antaranya Ungku Ismail, Cristina Suzanne, pelawak Ropie, Mikael Noah dan Haifa Halina.
“Ungku dan Cristina dipilih kerana kami fikir mereka boleh melontarkan rasa yang ada dalam Hanya Kita. Pemilihan pelakon dibuat dan dikaji dengan agak teliti,” kata sutradaranya Che Mie, pengarah filem Jibam pada 2017.
Karya berlatar suasana Kampung Batu Laut di Tanjong Sepat itu mengisahkan pemuda bernama Aiman lakonan Ungku Ismail yang terpaksa menjaga dua anak saudaranya akibat kematian kakaknya.
Penampilan latar sedemikian juga membuka peluang penonton untuk menikmati keindahan Kampung Batu Laut yang pernah dinobat sebagai kampung terbaik Selangor dan memiliki antara inap desa tercantik.
Lokasi tersebut dipilih EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah yang mahu memperkenal khalayak kepada keindahan panorama desa melalui karya kreatif. Beliau turut muncul dalam beberapa babak telefilem itu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga membuat penampilan khas dengan memegang watak sebagai guru besar yang membantu anak-anak yatim piatu. Ini bukan lakonan pertama beliau. Sebelum ini, Amirudin muncul dalam drama Ayah Panggil Balik, juga terbitan Kerajaan Selangor sempena sambutan Aidilfitri.
Secara tidak langsung, pelbagai inisiatif negeri, dari pendidikan sehingga bakul makanan, dipapar dalam telefilem tersebut. Selain Amirudin, beberapa EXCO negeri turut berlakon.
Sejak 2021, Kerajaan Negeri giat menggunakan karya kreatif bagi memperkenal inisiatif kebajikan untuk rakyat. Pada tahun tersebut, program Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik Covid-19.
Tahun berikutnya, program berkenaan diteruskan dengan menampilkan artis terkenal antaranya Ziana Zain, Sissy Imann, Elyana Emrizal, Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario.
Pada Syawal seterusnya, karya terbitan Kerajaan Selangor pertama kali muncul dalam kaca televisyen melalui drama lakonan artis popular Erra Fazira berjudul Selalu Ada. Turut berlakon, Sophia Al Barakhbah dan Syafie Naswip.
Telefilem bertajuk Ayah Panggil Balik pula diterbitkan pada tahun lalu yang menampilkan Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud, Syafie Naswip, Ropie dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.