SHAH ALAM, 2 APRIL: Seorang parah, manakala tiga lagi cedera selepas kanopi menjual mercun di Kampung Batu 39, Sabak Bernam terbakar awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.08 pagi, lapor portal Berita Harian
Beliau berkata, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi.
"Kebakaran dipadam sebelum pihak bomba tiba. Terdapat empat mangsa lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an.
"Seorang mangsa cedera parah pada bahagian kaki kiri, kaki kanan dan tangan kanan. Manakala tiga lagi cedera ringan," katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.