Oleh NAZLI IBRAHIM
Ketibaan Ramadan dan Syawal memang dinanti-nantikan pembekal buluh lemang seperti Hassan Ruak. Sambutan setahun sekali itu membuka peluangnya untuk meraih rezeki berlipat kali ganda.
Dibantu anak tunggalnya Adam berusia 20 tahun, Hassan lazimnya menerima tempahan sehingga 100,000 batang buluh. Menjelang Ramadan, tempahan bertalu-talu hingga Syawal berakhir.
Buluh itu dijual pada harga RM1 sebatang kepada pelanggannya terdiri peniaga lemang sekitar Lembah Klang dan negeri berdekatan. Selain orang perseorangan, peniaga sajian makanan juga mengambil tempahan.
Adakalanya mereka tidak menang tangan memenuhi permintaan, justeru Hassan membeli bekalan dari anak saudaranya yang turut menebang buluh setiap kali menjelang musim perayaan.
Sedari jam 7.30 pagi lagi, dua beranak itu menuju ke pinggir hutan sekitar Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat. Berbekal parang dan gergaji, Orang Asli Suku Temuan itu memakir motor di bahu jalan. Mereka melalui denai kecil dan mendaki anak bukit yang agak curam menuju ke rumpun buluh.
"Bekalan buluh tiada masalah. Walaupun tahun lepas sudah tebang, biasanya lepas setahun pokok buluh tumbuh semula dan sempat matang untuk dijadikan buluh lemang.
"Selalunya cukup. Cuma larat atau tidak sahaja. Kalau tempahan terlalu banyak, saya beli dari anak saudara yang juga buat kerja cari buluh," kata Hassan, 56, kepada Media Selangor pada 14 Mac.
[caption id="attachment_694229" align="aligncenter" width="700"] Hassan Ruak, 56, membawa turun buluh yang telah dipotong dari atas bukit di hutan Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat pada 14 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebelum menebang, Hassan memastikan buluh itu sesuai. Buluh padi antara paling baik. Ukuran antara ruasnya sesuai, kulit tidak terlalu tebal dan panjangnya sekata. Dengan menggunakan jari, buluh itu diukur memiliki saiz corong mengikut kehendak pelanggan.
Mampu memperoleh kira-kira 1,500 batang sehari menjelang jam lima petang, Hassan mengangkut buluh dengan menyandangkannya di belakang tubuh atau menggunakan gerabak jika terlalu banyak.
Antara Ramadan hingga Syawal, mereka lazimnya cuma berehat pada hari raya pertama sebelum kembali masuk hutan.
Pengalaman di hutan
Masak pengalaman meredah hutan, Hassan mengamal beberapa petua bagi memastikan keselamatan diri. Untuk menebang, Hassan biasanya lengkap berkasut dan berbaju lengan panjang bagi mengelakkan miang. Beliau juga mengikat tuala di kepala bagi mengelakkan ular yang bergayutan di dahan pokok.
"Mata kena tajam, sentiasa awas kalau-kalau ada binatang liar terutama ular. Hendak masuk hutan, hati kena bersih. Jangan cakap perkara tidak baik atau mengata orang. Paling penting, tidak boleh cakap besar," katanya.
[caption id="attachment_694230" align="aligncenter" width="700"] Hassan Ruak, 56, berehat sebentar setelah seharian memotong buluh di hutan Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat pada 14 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Walau pernah bertembung reptilia berbisa itu tetapi Hassan tidak berdepan kejadian tidak diingini. Beliau banyak menimba pengalaman mencari buluh sejak muda ketika bekerja dengan saudara-mara yang lebih tua pada awal 90-an.
Di luar bulan puasa dan raya pula, Hassan mengambil tempahan mencari buluh Cina atau bekerja sambilan sebagai pemandu lori untuk menyara kehidupan.
"Masa itu saya cuma kerja dengan saudara. Lama-lama saya pandai, jadi saya buat sendiri. Dulu kuli, sekarang tauke. Lagi untung.
"Dulu, masa mula jual buluh lemang harga cuma 20sen sebatang tetapi naik sedikit demi sedikit sampailah sekarang seringgit sebatang tetapi ada juga orang lain yang jual dua atau tiga ringgit," katanya.
[caption id="attachment_694233" align="aligncenter" width="700"] Hassan Ruak, 56, membawa turun buluh yang telah dipotong dari atas bukit di hutan Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat pada 14 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_694234" align="aligncenter" width="700"] Hassan Ruak, 56, dibantu anak tunggalnya Adam Hassan, 20, memotong buluh mengikut sukatan di kawasan hutan Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat pada 14 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_694239" align="aligncenter" width="700"] Hassan Ruak, 56, mengikat buluh lemang yang telah dikumpul di kawasan hutan Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat pada 14 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_694231" align="aligncenter" width="700"] Hassan Ruak, 56, menyusun buluh yang telah diikat sementara menunggu peraih buluh lemang di Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat pada 14 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_694232" align="aligncenter" width="700"] Hassan Ruak, 56, dibantu anak tunggalnya Adam Hassan, 20, untuk mengangkat buluh yang telah dikumpul di kawasan hutan Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat pada 14 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_694236" align="aligncenter" width="700"] Hassan Ruak, 56, membawa buluh menggunakan motosikal untuk penghantaran ke tempat pengumpulan di Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat pada 14 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]