ad
AGENDA

Laporan awal kebakaran diterima 72 jam, MB jamin tiada pihak terlepas

1 Apr 2025, 1:31 PM
Laporan awal kebakaran diterima 72 jam, MB jamin tiada pihak terlepas
Laporan awal kebakaran diterima 72 jam, MB jamin tiada pihak terlepas

SUBANG JAYA, 1 APRIL: Laporan awal insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height di sini, dijangka diterima dalam tempoh 72 jam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata polis dan pihak berkaitan akan menjalankan siasatan menyeluruh tanpa mengetepikan segala maklumat yang disebarkan di laman sosial.

“Ada pelbagai maklumat disebarkan, ia perlu ada pengesahan dan kita tidak tolak mentah-mentah. Kalau ada sebarang maklumat, laporkan pada polis dan bomba supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh.

“Kita tidak nafikan sebarang kemungkinan, tetapi jika ada maklumat jangan buat spekulasi. Semua pihak akan disiasat termasuk pemaju, pihak berkuasa tempatan dan penduduk.

“Biar polis buat siasatan menyeluruh… mungkin dalam tempoh 72 jam untuk mengetahui punca berlaku. Saya jamin tidak ada yang terlepas daripada tanggungjawab dan buat masa ini tiada keperluan penubuhan ‘task force’,” katanya.

Ditemui semasa lawatan ke pusat pemindahan sementara Dewan Serbaguna Masjid Putra Height yang menempatkan mangsa, Amirudin menjelaskan 78 rumah mengalami kerosakan sepenuhnya susulan insiden tersebut.

[caption id="attachment_694369" align="alignnone" width="893"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika meninjau lokasi insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pada 1 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Katanya, 327 kenderaan terkesan dan susulan kejadian di kawasan seluas 28 hektar meliputi dua lokaliti iaitu Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru yang ditutup selama 48 jam bagi tujuan siasatan termasuk kemampuan kediaman untuk diduduki.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan fokus Kerajaan Negeri kini adalah menyelamatkan nyawa rakyat selain bantuan serta kenal pasti kos insiden membabitkan mangsa.

“Perdana menteri umumkan bantuan kepada mangsa dan kini Kerajaan Negeri serta pihak terbabit sedang kenal pasti semua terkesan.

“Kita akan tanganinya untuk jangka masa sederhana dan panjang termasuk sewa sementara, ganti dan pembaikan rumah,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat kawasan itu mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya akibat kebakaran selain RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.