ad
AGENDA

Penduduk melecur tahap tiga terkena serpihan tanah terbakar

1 Apr 2025, 11:09 AM
Penduduk melecur tahap tiga terkena serpihan tanah terbakar
Penduduk melecur tahap tiga terkena serpihan tanah terbakar
Penduduk melecur tahap tiga terkena serpihan tanah terbakar

SUBANG JAYA, 1 APRIL: Seorang penduduk berdepan detik cemas terkena serpihan tanah panas dalam kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height pagi tadi.

Ahmad Danial, 25, berkata akibat kejadian itu, lengan tangan kirinya disahkan melecur tahap tiga selain jari kanannnya juga turut mengalami kecederaan.

Ditemui pemberita, beliau yang juga peniaga menceritakan terdengar bunyi dentuman kuat kira-kira jam 8 pagi selain keadaan persekitaran yang sangat berbahang.

“Saya cuba buka pintu tetapi gagal kerana tombol sangat panas. Saya terus ambil kain basah dan apabila pintu dibuka terasa bahang seperti gunung berapi.

“Selepas itu, saya terus panggil isteri dan sewaktu cuba menyelamatkan diri ke kawasan lapang ada tanah terpercik ke lengan… tanah sangat panas dan terus menjerit kesakitan,” katanya.

Beliau antara mangsa yang ditemui di pusat pemindahan sementara Dewan Serbaguna Masjid Putra Height, di sini.

[caption id="attachment_694379" align="alignnone" width="839"] Mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Ahmad Danial menunjukkan kesan lecur pada lengan kirinya pada 1 April 2025. Foto SITI ROHAIZAH/MEDIA SELANGOR[/caption]

Ibu tunggal, Norsyalida Abdul Wahab, 51, pula berkata beliau dan anak-anaknya serta kakaknya menyelamatkan diri ke kawasn rehat Putra Heights kerana khuatir dengan keselamatan anak keduanya yang mengalami strok.

“Api yang marak sangat panas kerana rumah saya jaraknya kurang dari 200 meter. Anak kedua saya yang lumpur tidak boleh panas dan kami semua ambil keputusan untuk terus keluar daripada kediaman.

“Sewaktu keluar sangat menakutkan kerana seperti hujan batu disebabkan percikan tanah yang agak banyak. Kami semua tidak tahu hendak ke mana dan berehat lebih tiga jam di kawasan rehat Putra Height,” ujarnya.

[caption id="attachment_694380" align="alignnone" width="913"] Antara mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height yang menerima bantuan awal di pusat pemindahan sementara Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights pada 1 April 2025. Foto SITI ROHAIZAH/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, bekas wartawan Aidil Ghafar berkata ketika kejadian beliau merasai gegaran dan menyangka kucingnya sedang bermain di pintu utama rumahnya.

“Mula-mula saya ingat kesan gegaran di Mandalay, Myanmar walaupun ia tidak mungkin tetapi terbau gas selain terasa bahang yang teramat panas.

“Apabila saya keluar kelihatan beberapa bahagian belakang kereta mula mencair. Saya berasa sangat risau dan meminta isteri dan anak-anak keluar dari rumah,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter.

Menurut Wan Razali Wan Ismail, seramai 78 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan sembilan balai bomba dan penyelamat antaranya Subang Jaya, Puchong, Shah Alam dan Rawang.

Tambah beliau, sebanyak 190 unit rumah rosak selain 148 kereta dan 11 motosikal mengalami pelbagai kerosakan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.