SUBANG JAYA, 1 APRIL: Seramai 40 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini setakat jam 1.30 petang ini.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Subang Jaya berkata pihaknya kini sedang membuat persiapan di dewan tersebut bagi menempatkan mangsa yang telibat insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights.
“Semua mangsa terlibat diarahkan berpindah ke PPS ini bagi mendapatkan bantuan diperlukan termasuk pek makanan dan set toto.
“Buat masa ini, dewan ini dapat menampung 30 keluarga tetapi sekiranya diperlukan kita akan membuka satu lagi PPS di Dewan Kamilia yang jaraknya kira-kira 7 kilometer,” kata A Ramacantiran kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_694346" align="alignnone" width="847"] Sebahagian orang awam yang ditempatkan di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya berikutan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pada 1 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Bomba Selangor mengesahkan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter.
Seramai 78 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan sembilan balai bomba dan penyelamat antaranya Subang Jaya, Puchong, Shah Alam dan Rawang.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata Kebakaran saluran paip gas berkenaan semakin reda setakat 1.55 petang ini.
Timbalan ketua polis Selangor memaklumkan bahawa setakat ini, seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam insiden itu dan dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.
DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata 49 lagi mangsa menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya.