Tiada lagi rumah papan tiga bilik, tempat Jamilah Adnan dan adik-beradiknya membesar. Selepas lebih 60 tahun, kediaman di tanah kebun sawit seluas satu ekar di Kampung Sungai Burong, Tanjong Karang kian reput dimamah anai-anai.
Wanita berusia 54 tahun itu berusaha untuk menyelamatkan rumah milik bapanya yang uzur dengan memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) hasil cadangan adiknya Norzana Februari lalu.
Namun, beliau sama sekali tidak menyangka permohonan membaik pulih rumah tersebut membawa rahmat tidak terduga. LZS menggantikan kediaman usang itu dengan rumah baharu secara percuma.
Justeru, wanita itu menyambut kemeriahan Syawal dengan rumah baharu sekali gus memberi keselesaan kepada bapanya yang hanya terbaring di katil akibat angin ahmar sebelah kiri tubuh.
[caption id="attachment_694272" align="alignleft" width="353"] Penerima bantuan zakat di Kampung Sungai Burong, Tanjong Karang, Jamilah Adnan 54. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Semua bermula apabila Jamilah mencuba nasib mengisi borang memohon bantuan baik pulih rumah. Permohonan dibuatnya atas kapasiti asnaf ibu tunggal yang pernah menerima sumbangan RM1,600 sepanjang membesarkan lima anaknya yang kini telah bekerja.
Sebulan kemudian, anak kedua daripada sembilan beradik itu bertanya kembali status permohonannya kepada pegawai LZS Kuala Selangor. Beliau kemudian dimaklumkan permohonannya dalam proses kelulusan.
Selang beberapa hari, pegawai itu bersama kontraktor datang ke rumahnya untuk membuat penilaian. Selepas pemeriksaan, rumah tersebut didapati tidak boleh diperbaiki lagi. Rosak teruk akibat dimakan anai-anai. Hanya menunggu masa menyembah bumi.
“Lagi pula kos banyak untuk baik pulih. Jadi (LZS cadangkan) bina rumah baharu atas runtuhan rumah lama,” kata Jamilah ketika ditemui Media Selangor pada 22 Mac.
Raya ala kadar
Kerja pembinaan memakan masa enam bulan sebelum penyerahan kunci dalam majlis di Kuala Selangor pada September tahun lalu. Kini, Jamilah menetap di situ selama lima bulan.
“Saya gembira. Syukur dapat bantuan rumah untuk sambut raya. Terima kasih kepada LZS kerana memberi rumah baharu untuk saya jaga ayah khususnya sempena Ramadan dan Aidilfitri," katanya.
Jamilah yang tidak bekerja kerana menjaga bapanya yang berusia 81 tahun menerima zakat RM300 termasuk bantuan makanan daripada LZS. Adik-beradik lain berkongsi membayar bil elektrik dan air setiap bulan.
Untuk persiapan raya, beliau menyambutnya secara ala kadar. Hanya membeli beberapa kuih-muih untuk menyambut perayaan sambil menunggu kepulangan adik-beradik lain di rumah baharu.
Menurut LZS, rumah Jamilah antara lebih 90 kediaman yang dibina sepanjang 2024 untuk keperluan asnaf di negeri ini.
Syarat kelayakan untuk memperoleh rumah sedemikian antaranya tidak memiliki kediaman, premis sedia ada terlalu uzur, tidak selamat didiami dan tidak berbaloi untuk dibaik pulih.
Selain itu, pemohon yang ada tapak atau tanah dengan taraf hak milik sendiri serta nama pemohon atau pasangan tersenarai dalam geran tanah boleh dipertimbang untuk manfaat tersebut.
“Semoga rumah ini dapat memberi keselesaan dan keceriaan buat keluarga. Jaga dan pelihara rumah ini sebaik-baiknya,” katanya dalam kenyataan pada 25 Mac.