ad
AGENDA

Mangsa: Gegaran seperti gempa bumi, barang rumah cair

1 Apr 2025, 4:32 AM
Mangsa: Gegaran seperti gempa bumi, barang rumah cair

SUBANG JAYA, 1 APRIL: Gegaran seperti gempa bumi - itu yang dirasakan penduduk setempat susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor pagi ini.

Mangsa Tan Jia Shin, 17, berkata ketika kejadian beliau bersama ibunya yang sarat mengandung dan bapa serta dua adik beradiknya berada di dalam rumah, merasakan gegaran kuat kira-kira 8 pagi.

"Kami semua bergegas keluar dan melihat api marak, lokasi kejadian itu cuma dua lorong dari rumah kami.

"Ketika itu kami hanya fikir keselamatan ibu yang mengandung, kami keluar rumah tanpa membawa apa-apa termasuk kereta, dengan bantuan pihak bomba," katanya ketika ditemui.

Seorang mangsa yang cedera di kaki kiri akibat melecur, Lee Weng Ken, 42, berkata beliau terkejut melihat siling rumahnya terjatuh dan menghempap kenderaan miliknya di perkarangan rumah dalam kejadian pagi ini.

"Saya terus keluar dari rumah namun saya terjatuh dan cedera akibat haba daripada kebakaran yang berlaku berhampiran rumah," katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Andy, 52, berkata rumahnya terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kebakaran.

Ketika kejadian, beliau bersama dua anaknya masing-masing berusia 14 dan 18 tahun dapat merasakan gegaran, dan mereka terus keluar rumah selepas melihat api marak.

"Saya hanya sempat bawa keluar kereta. Anak perempuan berumur 18 tahun cedera di kaki selepas terjatuh ketika memanjat pagar, akibat haba melampau.

“Kebanyakan barang di sekitar rumah sudah cair, menyukarkan kami keluar dari rumah," katanya.

Tinjauan mendapati kebanyakan mangsa yang mengalami kecederaan ringan di tempatkan di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya untuk menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Setakat 11 pagi ini 30 orang menerima rawatan awal, dan beberapa orang di hantar ke Hospital Serdang, Putrajaya dan Cyberjaya untuk rawatan lanjut.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.