ad
AGENDA

Bomba selamatkan tujuh sekeluarga terperangkap dalam kepala air

31 Mac 2025, 2:45 PM
Bomba selamatkan tujuh sekeluarga terperangkap dalam kepala air

IPOH, 31 MAC: Tujuh sekeluarga yang sedang beriadah di Lata Batu Hampar, Kuala Kangsar berdepan detik cemas apabila mereka terperangkap akibat kepala air sebelum diselamatkan sepasukan bomba dalam kejadian petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata panggilan kecemasan diterima pada 3.54 petang dan anggota penyelamat bergerak menggunakan kenderaan utiliti ke lokasi disebabkan laluan berkenaan tidak dapat diakses dengan jentera berat.

“Setibanya di tempat kejadian mangsa dapat dijumpai dan didapati kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat.

“Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota membuat kerja-kerja menggunakan tali penyelamat dengan menggunakan dua batang pokok sebagai pengukuh (anchor) bagi menyeberangi sungai anggaran lebar 10 kaki dan sedalam 1.2 meter dalam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya kesemua mangsa menyeberangi sungai dengan memakai peranti pengapungan peribadi dan dikawal oleh anggota penyelamat sehingga selesai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.