DAMSYIK, 31 MAC: Sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna yang amat simbolik bagi rakyat Syria, beberapa bulan selepas kejatuhan diktator Bashar al-Assad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Buat kali pertama dalam lebih 14 tahun, keluarga yang lama terpisah akibat perang bersatu kembali untuk meraikan berakhirnya bulan suci Ramadan di tanah air mereka selepas bertahun-tahun menjadi pelarian dan hidup dalam buangan.
Pihak berkuasa Islam Syria mengumumkan bahawa Isnin menandakan permulaan Aidilfitri selama tiga hari di negara itu, yang disambut dengan solat berjemaah, memberi hadiah dan menjamu selera.
Ramai rakyat Syria yang melarikan diri ke luar negara telah kembali minggu ini untuk meraikan perayaan itu bersama orang tersayang.
Antaranya ialah Khaled Imam, yang meninggalkan kediamannya di Daraya, selatan Damsyik, pada Ogos 2016 bersama isteri dan tiga anaknya.
“Saya meninggalkan Daraya selepas perjanjian dengan rejim al-Assad supaya pejuang berundur, tetapi saya sentiasa yakin bahawa semua yang pergi akhirnya akan kembali,” katanya.
Kini, buat pertama kali dalam beberapa tahun, beliau meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di sebuah bandar yang pernah menyaksikan pertempuran paling sengit dalam peperangan itu.
Bagi ramai rakyat Syria, kepulangan bukan satu keputusan mudah.
Golongan lelaki muda yang melarikan diri daripada kerahan tentera atau penganiayaan oleh pasukan keselamatan menghadapi cabaran khusus.
Hemam Ali, yang melarikan diri ke Jordan dan kemudian ke Eropah, menghabiskan lebih sedekad dengan hubungan terhad bersama keluarganya kerana bimbang dipantau pihak berkuasa.
“Saya kembali ke Syria pada 21 Mac untuk menyambut Hari Ibu. Saya akan tinggal sehingga 10 haribulan depan. Ini adalah hari-hari paling bahagia dalam hidup saya kerana dapat bersama ibu selepas lebih 11 tahun dan meraikan Aidilfitri dengan adik-beradik serta sanak saudara,” katanya.
“Tuhan telah memberkati kami dengan pembebasan Syria,” katanya.
Menjelang sambutan itu, suasana di Pasar Midan yang sibuk di Damsyik, terkenal dengan manisan tradisionalnya, dipenuhi kegembiraan. Kedai-kedai sesak dengan rakyat Syria yang pulang, merasai kembali kehidupan normal yang sekian lama dinanti-nantikan.
Ahmad Dalali, yang membawa beg berisi juadah Aidilfitri, mengesat air mata ketika bercakap. Buat julung kali sejak 2011, beliau dapat menjalani ibadah puasa dan kini meraikan Aidilfitri bersama keluarganya.
Beliau melarikan diri ke Lubnan pada akhir 2011 selepas pasukan keselamatan menyerbu rumah keluarganya di Wadi Barada, barat laut Damsyik.
Kini kembali ke tanah air, hatinya bercampur baur dengan rasa lega, kemenangan, dan kerinduan terhadap masa yang hilang.
“Saya meninggalkan Syria ketika berusia 26 tahun, masih seorang pelajar universiti. Sekarang saya 40 tahun. Perang telah meragut masa muda saya,” katanya dengan nada sayu.
“Tetapi akhirnya saya melangkah ke hadapan. Saya sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinan saya pada hari kedua Aidilfitri. Sewaktu meninggalkan Syria, saya bersumpah tidak akan bernikah sehingga rejim al-Assad lenyap.”
Sementara itu, buat pertama kali dalam sejarah Syria, dewan utama Istana Presiden di Damsyik menjadi lokasi solat Aidilfitri.
Ratusan rakyat Syria menunaikan solat di Istana Presiden pada Isnin yang dipimpin Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa. Turut hadir ialah menteri-menteri, pemimpin tentera dan rakyat biasa.
Kebanyakan dataran awam di bandar dan pekan seluruh Syria turut menyaksikan solat Aidilfitri berjemaah, dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Al-Assad memerintah Syria selama lebih dua dekad, namun cengkaman kuasanya runtuh pada Disember lepas selepas serangan pantas kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham yang kini dipimpin Presiden al-Sharaa. Al-Assad melarikan diri ke Rusia, meninggalkan Syria di satu persimpangan.
Bagi ramai rakyat Syria yang kembali, Aidilfitri kali ini bukan sekadar satu kepulangan – ia menandakan permulaan era baharu bagi negara mereka.
-- BERNAMA-dpa