SHAH ALAM, 30 MAC: Dato' Menteri Besar mengajak seluruh rakyat menghayati sifat kebersamaan dan ukhuwah yang dibina sejak begitu lama.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata sifat kesederhanaan wajar dihayati dan ditampilkan bukan hanya menerusi tingkah laku tetapi juga akal budi, agar nilai mulia itu dapat diwarisi generasi pelapis.
Berikut perutusan penuh Hari Raya Aidilfitri Dato' Menteri Besar:
Salam Kita Selangor dan Salam Malaysia Madani.
Kepada seluruh warga beragama Islam khususnya di Selangor dan seluruh Malaysia, saya, Amirudin bin Shari, Menteri Besar Negeri Selangor, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin sempena bulan Syawal yang mulia ini.
Setelah melalui musim Ramadan sepanjang bulan yang lalu, saya yakin waktu ini membawa seribu satu makna kepada seluruh umat yang taat sepanjang 30 hari sementelah masing-masing mencari Lailatul Qadr dan melaksanakan pelbagai kebajikan dan kebaikan serta mencari Mardhatillah.
Saya percaya Aidilfitri membawa seribu satu makna buat seluruh umat Islam yang telah menyelusuri bulan Ramadan yang mulia dengan mempertingkatkan ketakwaan dan amal kebajikan demi mengecap nikmat Lailatul Qadr dan mencari Mardhatillah.
Sekiranya kita renungi firman al-Quran dalam surah Fussilat ayat 53, umat Islam sentiasa diperingatkan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah SWT; dan kita digesa agar terus berpegang teguh pada nilai kebenaran, keilmuan, dan kesederhanaan tatkala menghadapi pelbagai cabaran yang mungkin membuatkan kita terpesong dari jalan kebenaran untuk menjadi manusia yang mulia dalam masyarakat.
Alhamdulillah, saya telah menyaksikan ketekunan sebahagian besar umat Islam di negeri ini untuk terus mengimarahkan masjid pada malam-malam terakhir Ramadan dengan penuh semangat kebersamaan dan kesederhanaan.
Bagi menyambut kemenangan Aidilfitri, yang makna sebenarnya pengembalian diri insan kepada fitrah, maka marilah kita semua meneruskan segala amal kebajikan seperti menyantuni golongan fakir miskin dan anak yatim serta mereka yang kurang bernasib baik dalam kalangan kita.
Sifat kesederhanaan ini wajar dihayati dan ditampilkan bukan hanya menerusi tingkah laku tetapi menerusi akal budi kita agar warisan kebudayaan dan nilai akhlak ini dapat diwarisi oleh anak-anak kita dan akhirnya melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan bertamadun.
Manfaatkanlah sepenuhnya silaturrahim dan ukhuwwah yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama. Semangat kebersamaan inilah yang harus kita pelihara di Selangor. Meskipun kadang-kadang kita melihat insiden yang mungkin dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk memisahkan kita, jangan sesekali kita lupa bahawa kekuatan kita sebagai rakyat Malaysia adalah kebersamaan yang terjalin melalui ukhuwah yang dibina sejak begitu lama.
Seharusnya kita melihat kepada pengalaman negara dan masyarakat lain yang membiarkan perpecahan dalam kalangan mereka yang menyebabkan ekonomi dan negara terkesan secara negatif.
Tatkal akita diizinkan Tuhan untuk menyambut kedatangan bulan Syawal ini bersama keluarga tersayang dan kawan serta kenalan kita, harus juga kita ingati mereka yang tidak lagi bersama ataupun mereka yang mungkin tidak dapat berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Buat seluruh rakyat Selangor, atas kejayaan prestasi pungutan hasil Kerajaan Negeri yang mencatatkan rekod sebanyak RM2.867 billion pada tahun 2024, saya telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2024 yang memberikan satu bulan gaji kepada seramai 21,736 penjawat-penjawat awam Negeri Selangor yang telah disalurkan pada 25hb Mac serta 15h April ini.
Saya percaya ramai daripada anda sudah menyelesaikan perjalanan pulang dan telah tiba di kampung halaman masing-masing. Manfaatkanlah detik-detik emas bersama keluarga dan sahabat tersayang.
Kepada anda yang akan pulang dalam beberapa jam akan datang, saya mendoakan perjalanan yang selamat di atas jalan raya dan semoga dilindungi Allah SWT. Biar lambat, asalkan selamat tiba di destinasi masing-masing.
Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua.
Saya memohon ampun dan maaf setulus Ikhlas atas sebarang kekurangan yang ada, dan berazam untuk terus memberi khidmat yang terbaik buat anda semua dan negeri kita. Taqaballallahu minna wa minkum.
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR