JOHOR BAHRU, 30 MAC: Bayi perempuan berusia setahun maut dipercayai dilanggar bapanya ketika mahu mengalihkan kereta Proton X50 keluar dari garaj sebuah rumah di Taman Desa Harmoni di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata dalam kejadian 2.30 pagi itu ketika hendak mengalihkan kereta berkenaan, bapa mangsa berusia 27 tahun terdengar bunyi dari arah belakang tayar sebelah kiri.
“Apabila turun dari kenderaan, pemandu mendapati anaknya berada di belakang kereta dalam keadaan berdarah dan tidak sedarkan diri.
“Pemandu kemudian terus membawa anaknya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bayi itu parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Sohaimi menasihati orang ramai supaya lebih peka terhadap kedudukan anak-anak terutama yang masih kecil sebelum memulakan pemanduan.
“Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika musim perayaan dan tidak tergesa-gesa atau leka ketika memandu,” katanya.
- BERNAMA