ad
AGENDA

AADK tahan pemandu bas ekspres positif dadah

29 Mac 2025, 3:45 PM
AADK tahan pemandu bas ekspres positif dadah

SIBU, 29 MAC: Seorang pemandu bas ekspres didapati positif dadah dalam Operasi Khas Hari Raya Aidifitri (HRA) 2025 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu petang semalam.

Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu Azimah Marsid berkata ujian di lapangan mendapati pemandu berusia 68 tahun itu didapati positif mengambil dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), Methamphetamine dan ketamin.

“Pemandu itu kini ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. AADK Sibu juga akan menghantar laporan lengkap kepada Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata selepas proses berkenaan selesai, AADK akan memohon perintah mahkamah sama ada pemandu itu perlu menjalani program di pusat pemulihan penagihan narkortik (PUSPEN) atau pengawasan dalam komuniti.

“Lelaki yang memandu bas bagi perjalanan Sibu ke Kapit itu merupakan antara 10 orang pemandu bas yang menjalani ujian saringan air kencing semasa operasi yang dijalankan di Terminal Bas Jalan Pahlawan di sini,” katanya.

Sementara itu, Azimah berkata AADK Sibu akan sentiasa bekerjasama dengan pihak JPJ bagi mengesan pemandu-pemandu kenderaan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.