OLEH SYAZA ATIKAH IBRAHIM
SHAH ALAM, 29 MAC: Orang ramai dinasihat menyenaraikan keperluan menyambut Aidilfitri termasuk penerima duit raya bagi mengelak terlebih belanja sekali gus 'pokai' sebelum gaji.
Pensyarah Kanan Jabatan Perakaunan dan Kewangan MSU Dr Nor Azima Ahmad mencadangkan tiga perkara asas dalam mengurus kewangan iaitu merancang, melaksanakan apa yang dirancang dan pantau perbelanjaan.
"Senaraikan keperluan utama seperti baju raya, kuih raya. Buat bajet dan patuh pada bajet, kemudian lihat sama ada perbelanjaan mengikut bajet yang ditetapkan atau sudah melebihi anggaran.
"Elakkan berhutang dan menggunakan kad kredit secara berlebihan. Sebaiknya amalkan simpanan sebelum musim perayaan, manfaatkan promosi raya dan kawal perbelanjaan," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan SelangorTV bertajuk 'Raya Sakan, Poket Jangan Kosong'.
Dr Nor Azima menambah tradisi memberi duit raya juga boleh menjadi beban kewangan sekiranya jumlah yang disediakan melebihi kemampuan.
"Nilai berapa banyak yang anda mampu beri tanpa menjejaskan kewangan peribadi. Senaraikan penerima, jika bajet terhad, jangan ragu untuk memberi jumlah yang lebih kecil," katanya.
Beliau menjelaskan membahagikan gaji mengikut peratusan tertentu adalah satu strategi terbaik untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan kewangan lebih terkawal dan terancang.
"Bahagikan gaji kepada empat bahagian iaitu komitmen 40 peratus, keperluan perbelanjaan asas untuk kehidupan seharian 35 peratus, simpanan masa panjang 20 peratus dan wang kecemasan untuk situasi tidak dijangka lima peratus," katanya.