GOMBAK, 29 MAC: Peguam, Asheeq Ali mengumumkan bertanding ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Batu dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada April.
Beliau berkata hasrat itu didorong keazaman mengembalikan kegemilangan cabang Batu sebagai antara benteng perjuangan KEADILAN di Wilayah Persekutuan, dengan semangat juang yang segar dan kepimpinan dinamik.
“Sebagai bekas aktivis mahasiswa dan kini seorang peguam, saya telah berjuang demi hak asasi manusia, keadilan sosial, dan kedaulatan undang-undang.
“Saya menyertai KEADILAN dengan matlamat utama bagi memperkukuh perjuangan KEADILAN di cabang Batu kerana ia bukan sekadar kawasan, tetapi simbol kekuatan rakyat, gerakan akar umbi dan keadilan sosial yang perlu terus dipertahankan.
“Fokus utama haruslah berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang, memperjuangkan isu setempat dan mengangkat suara mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Batu pernah menjadi cabang terkuat di Wilayah Persekutuan yang menjadi jantung gerakan rakyat dan kubu reformasi.
“Saya yakin, dengan dokongan anggota cabang, kita mampu mengembalikan Batu ke tempatnya yang sebenar sebagai kubu utama reformasi di Wilayah Persekutuan.
“Saya memohon sokongan semua untuk kita bersama-sama mengangkat Batu sebagai simbol perjuangan rakyat yang sebenar,” katanya.
Setiausaha Agung KEADILAN Dr Fuziah Salleh sebelum ini berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
Fuziah berkata pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat pula akan dilaksanakan pada 24 Mei.