ad
AGENDA

Menteri: ASEAN sedia bantu Myanmar, Thailand susulan tindak balas bencana

29 Mac 2025, 8:26 AM
Menteri: ASEAN sedia bantu Myanmar, Thailand susulan tindak balas bencana

PUTRAJAYA, 29 MAC: ASEAN bersedia membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana susulan gempa bumi semalam selaras dengan keutamaan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan mengikut keutamaan yang ditetapkan bagi memastikan bantuan diberikan berkesan dan tersasar, menurut Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mac, Mohamad menegaskan semula solidariti Malaysia bersama negara jiran ASEAN dan menekankan bahawa ASEAN bersedia menyokong Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana mereka.

“Negara Anggota ASEAN akan berkoordinasi secara rapat melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre) bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan,” katanya.

Menurut Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, sekurang-kurangnya 144 orang maut dan 732 cedera dalam gempa bumi yang melanda tengah Myanmar.

Kematian termasuk 96 di Nay Pyi Taw, 18 di Sagaing dan 30 di Kyaukse, manakala usaha menyelamat masih diteruskan susulan kerosakan besar pada bangunan, menurut laporan media antarabangsa.

Malaysia mempengerusikan ASEAN untuk 2025.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.