KOTA BHARU, 29 MAC: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu sedang mengesan ibu bapa atau waris bayi lelaki yang ditinggalkan di Baby Hatch sebuah hospital swasta, di sini, pada 28 Februari lalu.
Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak Jajahan Kota Bharu, Nurul Afeera Azwa Mohamad, berkata bayi itu ditinggalkan tanpa dokumen selain dipercayai baru dilahirkan kerana masih bertali pusat.
"Pihak bertanggungjawab membawa bayi itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, untuk mendapatkan rawatan.
"Bayi itu kini berada di Rumah Kanak-Kanak di bawah perintah jagaan sementara sebagaimana peruntukan seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).
"Justeru, waris diminta tampil atau menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Kota Bharu di talian 013-9678552atau 09-7422034," katanya dalam kenyataan media, hari ini lapor Berita Harian.
Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati bayi itu cukup sifat dengan berambut hitam, berkulit cerah dan tidak mengalami kecederaan trauma atau komplikasi kronik.