ad
AGENDA

Pekerja pendawaian tercampak dari bot ditemukan lemas

29 Mac 2025, 12:14 AM
Pekerja pendawaian tercampak dari bot ditemukan lemas

SIBU, 29 MAC: Seorang pekerja syarikat pendawaian yang tercampak dari bot dalam insiden di Sungai Batang Igan berdekatan Bungan Kecil di Mukah, kira-kira 160 kilometer (km) dari sini Rabu lalu ditemukan lemas malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat Saffuan Zaffarin, 30, ditemukan penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 7.36 malam.

“Mayat dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Operasi SAR yang memasuki hari ketiga sebelum penemuan mayat itu, melibatkan pencarian di kawasan radius lima hingga 10 km dari lokasi kejadian pada sebelah pagi manakala pencarian di permukaan sungai diteruskan sebelah petang.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang Rabu itu, mangsa dipercayai tercampak selepas bot dinaikinya melanggar sebatang kayu hanyut ketika melalui kawasan Bungan Kecil, Batang Igan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.