SHAH ALAM, 28 MAC: Sejumlah 3,129 penggerak masjid seluruh Selangor menerima Insentif Khas Aidilfitri 2025 berjumlah RM1.564 juta yang disampaikan Dato Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan penerima terdiri dalam kalangan nazir, imam, bilal dan siak dari 447 masjid di negeri ini, dengan setiap seorang menerima RM500.
“Kita lunaskan secara fizikal hari ini penyerahan insentif raya untuk petugas masjid (lebih) RM1.5 juta yang kita siapkan sebagaimana tahun sebelum ini,” katanya di sini, hari ini.
[caption id="attachment_693588" align="aligncenter" width="794"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Penyerahan Insentif Khas Aidilfitri kepada Penggerak Masjid Selangor di Dewan Jamuan Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bercakap selepas Majlis Penyerahan Insentif Khas Aidilfitri #KitaSelangor 2025, jelasnya, negeri mempertimbang untuk menambah kategori kepada sembilan tahun depan, berbanding tujuh ketika ini.
“Tahun depan sudah dipertimbangkan, kita akan tambah lagi RM500,000 untuk lengkapkan RM2 juta. Tambahan itu kita akan dapat tampung untuk setiausaha dan bendahari masjid,” katanya.
Sementara itu, nazir Masjid Al Ma’arufiah Parit Baru Sabak Bernam Mohd Sofiyuddin Ahmad berkata insentif berkenaan menjadi pendorong kepada penggerak masjid untuk berkhidmat lebih cemerlang.
"Program ini perlu diteruskan dan ditambah nilai sasarannya. Ternyata usaha Kerajaan Negeri membangunkan syiar Islam terserlah dengan program ilmu dan kursus yang diadakan,” katanya.
[caption id="attachment_693586" align="aligncenter" width="754"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan insentif kepada penerima ketika majlis Penyerahan Insentif Khas Aidilfitri kepada Penggerak Masjid Selangor di Dewan Jamuan Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Nazir Masjid Taman Putra Perdana Adnan Ali Nazir pula berkata sumbangan berkenaan amat dihargai dan bakal menaikkan motivasi penggerak masjid untuk berkhidmat dengan lebih baik.
“Mudah-mudahan insentif ini akan memberi motivasi untuk kami bekerja dengan lebih keras dan penuh keikhlasan demi kebaikan semua kariah, lebih-lebih lagi umat Islam di Selangor,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin berkata petugas masjid termasuk nazir, imam, siak dan bilal akan menerima RM500 sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sempena Aidilfitri.