ad
AGENDA

Siri animasi legenda Keluang Man ke pentas teater April ini

28 Mac 2025, 2:13 AM
Siri animasi legenda Keluang Man ke pentas teater April ini

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Siri animasi legenda tempatan Keluang Man bakal menemui peminatnya di pentas teater pada April ini, dipersembahkan di Studio Sedar Ruang, Shah Alam, Selangor.

Pementasan kali pertama seumpamanya karya terkenal Allahyarham Kam Ismail itu akan diarahkan oleh pengarah prolifik Walid Ali yang dikenali dengan sentuhan kreatif dalam teater tempatan dan antarabangsa, menambah nilai naskah animasi klasik tersebut.

Walid berkata teater berkenaan bukan sekadar pementasan biasa, tetapi satu pengalaman epik yang menghidupkan kembali nostalgia watak adiwira tempatan yang ikonik.

"Saya berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk mementaskan Keluang Man di pentas teater. Adaptasi ini merupakan yang pertama seumpamanya dan mendapat sokongan penuh daripada Kelab Keluang Man.

"Saya amat teruja dapat mengimbau nostalgia era 90-an bersama-sama dengan peminat animasi ini," katanya dalam kenyataan.

Barisan pelakon utama termasuk Han Zalini sebagai Keluang Man/Borhan, Cristina Suzanne (Suri), Jay Iswazir (Samsir) dan Azman Hassan (Cikgu Ahmad).

Teater ini mengisahkan perjalanan Borhan, seorang pesakit di Hospital Bahagia Tumpoi yang pada waktu malam bertukar menjadi Keluang Man – seorang pejuang keadilan yang membanteras jenayah dengan caranya tersendiri.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.