ad
AGENDA

Pengetua tadika didenda RM2,000 pulas telinga murid hingga cedera

27 Mac 2025, 8:43 AM
Pengetua tadika didenda RM2,000 pulas telinga murid hingga cedera

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Seorang pengetua sebuah tadika didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan dengan memulas telinga anak muridnya berusia enam tahun selepas tersalah menulis huruf G, tahun lepas.

Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir menjatuhkan hukuman ke atas wanita berusia 61 tahun itu dan memerintahkannya dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak perempuan dengan memulas telinga mangsa di sebuah tadika di Taman Cempaka di sini pada 11.30 pagi, 6 Mac 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 Mac tahun lepas, ibu kandung mangsa yang berumur 37 tahun dimaklumkan oleh anak sulungnya yang berumur 10 tahun bahawa adiknya telah dipukul tertuduh dengan menggunakan pen ‘marker’ pada tangan kanan.

Tertuduh juga menarik serta memulas telinga mangsa kerana tersalah menulis huruf G dan hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kecederaan tisu lembut pada telinga kanan mangsa.

Terdahulu, peguam Jenifer Irithusamy mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum bagi memberi peluang kepada anak guamnya untuk meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.

“Tertuduh yang merupakan ibu tunggal mempunyai dua anak dan bekerja sebagai pengetua di tadika dengan pendapatan RM3,000 sebulan. Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah, polis dan mangsa dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi dan pengakuan bersalah tertuduh bukan membolehkannya secara automatik mendapatkan hukuman ringan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.