KAJANG, 25 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menganjurkan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di 65 lokasi bermula 24 Mac hingga 31 Mac ini.
EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata inisiatif bertujuan membantu rakyat mendapat barangan asas dengan harga berpatutan sempena Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.
“31 jenis barangan tin daripada kategori barangan kering dan makanan dalam tin dijual pada program ini.
“Pengguna berpeluang menikmati potongan harga antara 10 hingga 15 peratus dari pasaran. Kebanyakan lokasi program dianjurkan di pasar raya serta secara fizikal melalui pembukaan gerai di luar,” katanya.
[caption id="attachment_693261" align="aligncenter" width="623"] EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail mewakilkan penerimaan sumbangan asnaf daripada Pasaraya Econsave ketika Pemeriksaan Pematuhan SHMMP Aidilfitri 2025 Oleh KPDN Selangor di Pasar Raya Econsave Jalan Reko, Bangi pada 25 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan pematuhan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2025 di Pasar Raya Econsave, Kajang di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Rizam turut menyerahkan sumbangan baucar beli-belah bernilai RM200 kepada 20 asnaf yang memerlukan.
Dalam pada itu, Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhari Mat Radey memaklumkan tiada kenaikan harga melampau dikesan di bazar Ramadan seluruh negeri setakat ini.
“KPDN menumpukan pemeriksaan advokasi secara berkala di bazar sepanjang bulan Ramadan ini.
“Pemantuan harga dibuat secara aktif dan alhamdulillah tiada kenaikan dikesan. Semua peniaga mematuhi harga kawalan ditetapkan,” ujarnya.