OLEH AIDA NYAN
SHAH ALAM, 25 MAC: Telefilem terbitan Kerajaan Negeri berjudul 'Hanya Kita' yang bakal ditayangkan minggu ketiga Syawal ini menjanjikan kelainan dengan kisah yang lebih menyentuh emosi penonton.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata telefilem ketiga diterbitkan sempena Syawal itu juga sarat dengan mesej penting tentang nilai saling membantu dalam kehidupan.
"Telefilem ini memberi gambaran supaya dalam kehidupan masyarakat kita harus saling membantu dan kita juga menyampaikan mesej bagi program Kerajaan Negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi pratonton telefilem itu di Muzium Sultan Alam Shah, di sini hari ini.
Tambah Borhan, telefilem itu juga bukan sekadar hiburan, sebaliknya inisiatif mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 dengan penggambaran dilakukan di beberapa lokasi menarik di negeri ini.
"Kita banyak beri informasi tentang tempat-tempat sejarah dan tempat-tempat yang perlu dilawat di Selangor. Jadi saya harap ini menjadi promoi juga sempena Tahun Melawat Selangor,"katanya.
Telefilem itu menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, beberapa EXCO Kerajaan Negeri dan pelakon terkenal seperti Ungku Ismail, Christina Suzanne serta Ropie.
'Hanya Kita' merupakan telefilem ketiga selepas 'Selalu Ada' pada tahun 2023 dan 'Ayah Panggil Balik' yang disiarkan pada 2024.
Orang ramai boleh menonton telefilem ini menerusi saluran TV1, TV2 dan platform media Selangor.