KUALA LUMPUR, 25 MAC: Keluarga penghuni penjara dibenar membuat lawatan sempena Aidilfitri tahun ini pada raya ketiga dan keempat bagi semua institusi penjara, Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.
Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan lawatan diberikan kepada penghuni beragama Islam dan waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang.
Pelawat diminta membawa kad pengenalan dan kad lawatan bagi memudahkan urusan selain tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman kepada penghuni manakala pemberian wang kepada penghuni tidak digalakkan memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara.
“Sekiranya pelawat ingin memberi wang bagi tujuan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, sila dapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan,” menurut kenyataan itu.
Bagi keluarga yang tidak dapat hadir secara fizikal, perjumpaan dalam talian akan diadakan dari 4 hingga 6 April ini sebagai alternatif untuk berkomunikasi dengan penghuni.
-- BERNAMA